KOTA BHARU, 17 Mac (Bernama) -- Maxis dan 44 graduan yang menyertai Program Pemecutan eKelas Usahawan mengagihkan sumbangan raya kepada 100 ahli daripada beberapa pertubuhan kebajikan di Kelantan baru-baru ini.
Pertubuhan terlibat adalah Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK), Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI), Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Cawangan Kelantan (PERTIS), Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa' Kelantan serta beberapa pertubuhan kebajikan tempatan lain.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata sumbangan tersebut disediakan sendiri oleh graduan, sekali gus memperkukuhkan semangat berbakti kepada komuniti setempat.
"Selain itu, Maxis turut menyumbangkan tiga unit komputer riba serta pek sumbangan perayaan mengandungi barangan makanan kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa' Kelantan, yang menguruskan kebajikan 180 kanak-kanak di beberapa rumah anak yatim di bawah jagaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azizul berkata pihaknya turut mengadakan hari graduasi kepada 44 pemilik perniagaan tempatan di Kelantan yang menyertai kohort kedua Program Pemecutan eKelas Usahawan.
Beliau berkata program itu turut mendapat kerjasama daripada Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
"Program yang berlangsung sejak November tahun lepas hingga Februari tahun ini melibatkan 44 usahawan dari Kelantan dengan memberi pendedahan terhadap penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) serta strategi pemasaran digital.
"Melalui latihan praktikal dan sesi bimbingan, peserta dilengkapi dengan kemahiran untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam ekonomi digital. Ramai peserta mencatatkan pertumbuhan ketara dari segi hasil jualan serta jumlah pengikut di media sosial selepas melaksanakan strategi pemasaran digital yang dipelajari dalam program ini," katanya.
Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk memperkasa usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka.
"Dengan memastikan manfaat kejayaan ini turut dikongsi bersama dengan golongan yang memerlukan, kami dapat membina asas bagi sebuah komuniti tempatan yang lebih mampan dan berdaya maju," katanya.
-- BERNAMA
