JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN RAMPAS 790 JAM TANGAN TIRUAN BERNILAI RM790,600, TAHAN SEORANG LELAKI

18/03/2026 10:22 AM

PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 790 jam tangan pelbagai jenama terkenal disyaki tiruan bernilai RM790,600 dalam serbuan di sekitar ibu negara, Jumaat lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata serbuan dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya hasil risikan selama hampir sebulan terhadap sebuah premis yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan dan penjualan barangan berkenaan.

“Turut disita adalah pelbagai kotak dan beg kertas berjenama serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan penjualan produk tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kegiatan itu dijalankan di sebuah premis dua tingkat yang beroperasi secara tertutup dengan bahagian bawah dijadikan bengkel pembaikan dan servis jam tangan, manakala tingkat atas digunakan sebagai lokasi penyimpanan serta penjualan jam tangan tiruan.

Aktiviti penjualan, katanya dipercayai hanya dilakukan kepada pelanggan tertentu sahaja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Azman berkata jam tangan tiruan itu dipercayai diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum diedar kepada pelanggan tempatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kegiatan itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang merupakan pengurus premis berkenaan dan dipercayai bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi termasuk pengurusan premis, penyimpanan stok dan aktiviti penjualan.

"Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik yang sah," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan