EKONOMI

PERATURAN SEWA BELI BAHARU MANFAATKAN PEMINJAM, IMPAK MINIMUM KEPADA BANK

18/03/2026 04:38 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Pengenalan pindaan utama kepada amalan pembiayaan sewa beli di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 (HPAA) adalah langkah penting untuk meningkatkan perlindungan kepada peminjam terutama bagi mereka yang ingin menjual kenderaan sebelum kontrak pembiayaan matang.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perubahan itu akan memberi manfaat kepada peminjam yang berhasrat menukar atau menjual kenderaan lebih awal berikutan kaedah pengurangan baki menawarkan penjimatan lebih besar berbanding Peraturan 78 yang mengenakan faedah lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman.

Beliau berkata dalam aspek tertentu, langkah berkenaan juga boleh membantu meningkatkan kemampuan pembeli.

“Secara keseluruhan, langkah ini sewajarnya memberi manfaat kepada industri perbankan dengan menggalakkan keadilan dan kesaksamaan kepada pelanggan.

“Adakah ini menjejaskan keuntungan bank? Saya melihat impaknya adalah kecil. Secara keseluruhan, ia adalah positif kepada industri,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd berkata impak keseluruhan terhadap bank dan syarikat kewangan bukan bank dijangka minimum berikutan panduan daripada kebanyakan institusi kewangan mendapati pelanggan yang memilih penyelesaian awal hanya merangkumi sebahagian kecil daripada keseluruhan portfolio sewa beli pada setiap tahun.

Menurutnya sebahagian daripada institusi kewangan ini telah menawarkan pakej pembiayaan menggunakan kaedah "pengurangan baki" yang menyebabkan peminjam tidak mempunyai alasan kukuh untuk menukar pakej pembiayaan.

“Memandangkan penyelesaian awal pinjaman lazimnya berlaku pada pertengahan kitaran atau hampir dengan tempoh matang, jumlah faedah belum diperoleh yang tertakluk kepada potensi ‘pelarasan diskaun muhibah’ adalah kekal terhad dan kesan kepada peminjam dan institusi kewangan juga tidak ketara,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran awam dan memastikan pemahaman yang konsisten mengenai bagaimana kadar faedah diperoleh dan ansuran dikira melalui kaedah pengurangan baki.

“Tanpa panduan yang jelas, pasaran berisiko mentafsirkan maklumat yang tidak konsisten dan salah faham, yang boleh menjejaskan keyakinan pengguna serta memberi kesan kepada jualan kenderaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Pada masa sama, MAA berkata industri automotif masih belum memahami sepenuhnya kaedah pengurangan baki yang dicadangkan.

Menurutnya, walaupun ansuran bulanan mungkin dilihat hampir sama, kadar faedah efektif menerusi struktur ini boleh menjadi lebih tinggi berbanding sistem kadar rata yang sedia ada.

Sehubungan itu, MAA menekankan keperluan untuk sektor perbankan mengadakan sesi libat urus khas bagi membantu petugas barisan hadapan industri ini untuk memahami dengan jelas kaedah pengurangan baki, termasuk cara kadar faedah efektif ditentukan serta pengiraan ansuran.

“Walaupun petugas pada kebiasaannya mahir untuk menjelaskan mengenai pembiayaan kadar tetap, mereka mungkin belum cukup mahir untuk menerangkan mengenai kaedah pengurangan baki,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pada 15 Mac berkata, HPAA akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026 iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Jan 2026 dengan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027 bagi membolehkan bank melakukan penambahbaikan sistem, proses dan infrastruktur yang diperlukan.

Menurut Bank Negara Malaysia, melalui HPAA, semua pinjaman berkadar tetap dan berkadar boleh ubah akan menggunakan kaedah pengurangan baki, iaitu faedah dikira berdasarkan baki prinsipal yang tertunggak.

Bank pusat berkata sebaik sahaja peminjam melunaskan baki pinjaman, tiada caj faedah dikenakan selepas itu yang menyebabkan tidak wujud keperluan untuk pengecualian faedah atau rebat seperti sebelum ini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan