AM

FILEM PENDEK “JALINAN KASIH” SIRIM ANGKAT MAKNA KEPULANGAN SEMPENA SYAWAL

18/03/2026 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Dalam kehangatan sambutan Aidilfitri, SIRIM Berhad tampil dengan sebuah filem pendek Raya bertajuk “Jalinan Kasih” yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan nilai kemanusiaan.

Tidak sekadar karya bermusim, filem pendek itu mengangkat tema universal tentang erti kepulangan, keberanian membaiki diri serta menyambung semula hubungan kekeluargaan yang mungkin pernah renggang.

SIRIM dalam kenyataan memaklumkan “Jalinan Kasih” berbeza daripada kebiasaan iklan komersial apabila mengetengahkan kisah yang dekat dengan realiti kehidupan, termasuk rasa rindu, perjalanan untuk pulang dan peluang kedua dalam hubungan sesama insan.

“Filem ini mengisahkan seorang anak yang merantau jauh daripada keluarga dan bagaimana momen indah pada Hari Raya menjadi titik tolak untuk kembali ke pangkuan, memohon maaf dan memulihkan hubungan yang pernah retak,” menurut kenyataan itu.

Menurut SIRIM, filem tersebut turut membawa penonton menyelami konflik dan emosi yang sering bermain di jiwa mereka yang berada jauh daripada keluarga.

Pada masa sama, karya ini mengingatkan bahawa kepulangan pada hari raya bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga keberanian untuk kembali kepada asal-usul dan kepada insan yang membentuk jiwa.

“Ia sebuah cerita tentang harapan, bahawa selagi masih ada rindu di hati, belum terlambat untuk kembali ke pangkuan keluarga dan menyatukan semula jalinan kasih,” menurut kenyataan itu.

Filem pendek “Jalinan Kasih” kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi SIRIM Berhad serta semua platform media sosial agensi itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan