KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persediaan menyeluruh bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan berterusan sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini, termasuk menggerakkan lebih 11,000 petugas di seluruh Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Kanan Rangkaian TNB Mahathir Nor Ismail berkata pasukan teknikal syarikat akan memantau rapi keadaan sistem sepanjang musim perayaan serta bersedia mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan sekiranya berlaku gangguan.
“Komitmen ini penting bagi memastikan rakyat dapat membuat persediaan dan seterusnya menyambut Aidilfitri dengan penuh ceria lagi selesa bersama keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anggota teknikal TNB akan bertugas secara giliran 24 jam sehari bermula tiga hari sebelum Syawal sebagai sebahagian daripada pelan kesiapsiagaan operasi syarikat.
Selain itu, TNB turut memperkukuh infrastruktur dan sokongan operasi termasuk menempatkan 136 janakuasa bergerak di lokasi strategik serta menyediakan 379 kenderaan sokongan seperti kren gerimit, tower wagon (kenderaan menara), kren pengangkat dan lori penyelenggaraan bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan.
Sebagai langkah mitigasi tambahan, syarikat utiliti itu melaksanakan tindakan mengimbangi beban, meningkatkan kapasiti transformer serta menambah baik rangkaian pengagihan bagi memastikan sistem elektrik kekal stabil sepanjang tempoh perayaan.
Dalam pada itu, Mahathir menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah keselamatan elektrik, termasuk memastikan peralatan elektrik berada dalam keadaan baik, memeriksa soket dan pendawaian serta tidak menggunakan telefon semasa mengecas.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan khidmat kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk kerja elektrik, selain mematikan suis utama serta mencabut palam peralatan yang tidak digunakan sebelum pulang ke kampung.
Selain itu, beliau menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap dengan menyarankan orang ramai memaksimumkan cahaya semula jadi pada waktu siang, merancang aktiviti memasak dengan lebih efisien, dan mengelakkan penggunaan banyak peralatan elektrik berkuasa tinggi secara serentak.
Mahathir turut menasihatkan agar peti sejuk tidak diisi terlalu penuh, pakaian dibasuh dengan muatan penuh dan dijemur berbanding menggunakan alat pengering, suhu penyaman udara ditetapkan antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta penapis dibersihkan secara berkala.
Pengguna juga disaran memantau dan merancang penggunaan elektrik melalui aplikasi myTNB bagi pelanggan meter pintar.
TNB memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan tip keselamatan dan panduan penjimatan elektrik menerusi laman web rasmi syarikat di www.mytnb.com.my/energy-efficiency atau saluran media sosialnya, selain menghubungi talian CareLine untuk sebarang pertanyaan.
-- BERNAMA
