AM

DUA KAPAL TENTERA LAUT AS SINGGAH DI PULAU PINANG UNTUK URUSAN LOGISTIK - KHALED

18/03/2026 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang baru-baru ini merupakan persinggahan sementara bagi urusan logistik yang telah mendapat kelulusan rasmi kerajaan Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan media berkata kapal USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang bermula 14 hingga 16 Mac lepas.

Beliau berkata persinggahan tersebut bertujuan membolehkan kapal melaksanakan urusan ulang bekal, penyelenggaraan serta memberi ruang rehat kepada anak-anak kapal sebelum meneruskan pelayaran.

"Persinggahan sementara atau port of call oleh kapal tentera laut asing di mana-mana pelabuhan di Malaysia bukanlah perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan antarabangsa.

"Malaysia mempunyai prosedur yang jelas iaitu setiap permohonan berlabuh perlu melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan Malaysia," katanya.

Mohamed Khaled berkata kunjungan berkala seumpama itu adalah sebahagian daripada aktiviti untuk meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.

Beliau berkata langkah tersebut selari dengan Kertas Putih Pertahanan bagi memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat sentiasa terpelihara.

Sebagai rekod, Malaysia telah menerima 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara sepanjang 2025.

Antara negara yang pernah melakukan persinggahan di pelabuhan negara ialah Australia, China, Britain, Jepun, Perancis, Indonesia, Singapura, dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan