GUA MUSANG, 18 Mac (Bernama) -- Polis melakukan penyuraian trafik sebanyak tiga kali di beberapa lokasi tumpuan berikutan pertambahan jumlah kenderaan yang mula memasuki Kelantan melalui Jalan Kuala Lipis, Pahang-Gua Musang hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata lokasi yang terlibat adalah sempadan Merapoh, Pahang, iaitu di Kampung Mentara, laluan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Masjid Buluh dan Jalan Persiaran Raya.
“Pada sebelah petang tadi, kami telah melakukan dua kali penyuraian trafik manakala sebelah malam pula kami melakukan lagi satu penyuraian trafik untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas bertambah teruk.
“Selain melakukan penyuraian, anggota polis turut membuat rondaan dan pemantauan aliran trafik di pintu masuk serta keluar daerah ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sik berkata proses penyuraian trafik ini juga memerlukan masa yang agak lama kerana perlu mengatur gerak bagi setiap lokasi yang terlibat dengan selamat.
Beliau bagaimanapun berkata pergerakan trafik sedikit lancar di laluan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kem Semur di sini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa jalan utama Persekutuan membabitkan jajahan Kuala Krai pula mendapati aliran trafik bergerak lancar dan terkawal setakat 10.30 malam tadi.
-- BERNAMA
