GEORGE TOWN, 19 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang melalui Majlis Agama Islam Negeri (MAINPP) memperuntukkan RM25.34 juta bagi pembangunan masjid dan surau di seluruh negeri tahun ini dalam usaha memperkasa institusi agama sebagai pusat ibadah, pendidikan serta penyatuan ummah.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata peruntukan itu meningkat berbanding RM17.67 juta pada 2025, dan terdapat 258 masjid di Pulau Pinang termasuk tujuh masjid baharu yang telah siap serta beroperasi sehingga kini sekali gus memperluas kemudahan ibadah kepada masyarakat setempat.
"Selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) berasaskan gagasan Visi Penang 2030 dalam aspek pendidikan Islam, Pulau Pinang kini mempunyai 352 sekolah Islam dan 222 Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
"Kerajaan negeri turut menyalurkan RM3.18 juta bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR) selain menyediakan RM7.2 juta elaun kepada 1,650 guru KAFA dan RM4.19 juta elaun kepada guru Sekolah Islam Pulau Pinang sebagai penghargaan kepada warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan yang berilmu dan berakhlak," katanya dalam perutusan Aidilfitri hari ini.
Beliau berikrar barisan kepimpinan kerajaan negeri terus komited memperkukuh pembangunan hal ehwal agama Islam sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri yang inklusif.
Sempena Aidilfitri, Chow menyeru agar semua masyarakat menjadi “ejen kedamaian” dengan menghentikan sebarang bentuk provokasi yang boleh meretakkan perpaduan.
"Marilah kita bersama-sama menyerikan suasana dengan tradisi kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi serta saling bermaafan dalam semangat perpaduan demi memperkukuh keharmonian masyarakat negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
