AM

ALLIANZ GENERAL TAWAR PERLINDUNGAN TAMBAHAN 25 PERATUS POLISI KEMALANGAN PERIBADI

19/03/2026 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) meningkatkan piawaian perlindungan kemalangan peribadi, dengan menyediakan perlindungan tambahan sebanyak 25 peratus kepada pelanggan yang mengambil polisi Allianz Shield Plus atau Allianz Lifestyle Protect.

Bersempena ulang tahun ke-25 tahun ini, Allianz Malaysia meraikan pencapaian itu dengan memberi ganjaran kepada pelanggan sambil meneruskan komitmennya untuk melindungi apa yang paling penting.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Sean Wang berkata kempen itu mencerminkan penghargaan syarikat terhadap kepercayaan dan sokongan berterusan daripada pelanggan sepanjang 25 tahun lepas.

“Dengan perlindungan tambahan 25 peratus ini, kami memperkasa pelanggan dengan keselamatan kewangan yang lebih kukuh dan ketenangan fikiran, sama ada dalam melindungi insan tersayang, mengurus kejadian tidak dijangka atau menyokong keperluan gaya hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di bawah kempen itu, Allianz General memaklumkan pelanggan berumur 40 tahun ke bawah yang membeli polisi baharu Allianz Shield Plus akan menerima Bonus Khas sebanyak 25 peratus serta-merta ke atas jumlah perlindungan utama.

“Pemegang polisi sedia ada yang memperbaharui polisi mereka dan memasukkan individu baharu berumur 40 tahun ke bawah juga layak menerima Bonus Khas 25 peratus bagi individu yang baru ditambah itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pelanggan yang memilih Manfaat Gaya Hidup dan Kehidupan juga akan menerima perlindungan tambahan 25 peratus, yang menawarkan sokongan lebih besar untuk kejadian tidak dijangka.

“Allianz Shield Plus ialah penyelesaian insurans kemalangan diri seluruh dunia 24 jam sehari, tujuh hari seminggu yang menawarkan manfaat seperti perlindungan sehingga RM3 juta bagi kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal serta manfaat kemasukan dan keluar hospital tanpa tunai bagi perbelanjaan perubatan akibat kemalangan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pelanggan baharu polisi Allianz Lifestyle Protect akan menerima perlindungan tambahan 25 peratus bagi manfaat gaya hidup dan kehidupan terpilih, sekali gus memastikan perlindungan menyeluruh yang disesuaikan dengan keperluan dan gaya hidup unik mereka.

“Pemegang polisi sedia ada yang menambah individu baharu ke dalam polisi Allianz Lifestyle Protect mereka juga akan menikmati perlindungan tambahan 25 peratus bagi individu yang baru ditambah itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Allianz Lifestyle Protect adalah penyelesaian insurans sehenti yang direka untuk melindungi gaya hidup anda, dengan manfaat termasuk perlindungan sehingga RM5,000 bagi peranti pintar, RM5,000 bagi indemniti kad kredit dan pinjaman serta RM1,500 bagi pembelian dalam talian.

Kempen ini ditawarkan dari 1 Jan hingga 31 Dis 2026 dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui https://www.allianz.com.my/personal/life-health-and-savings/personal-accident/allianz-shield-plus.html bagi Allianz Shield Plus dan https://www.allianz.com.my/personal/life-health-and-savings/personal-accident/allianz-lifestyle-protect.html bagi Allianz Lifestyle Protect.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan