KOTA KINABALU, 20 Mac (Bernama) -- Suasana meriah di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, di sini, yang dipenuhi peniaga dan pengunjung setiap petang, kembali tenang dan lengang sebaik operasi bazar berakhir sekitar 7.30 malam.
Sekumpulan petugas pembersihan daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kemudian mula mengambil alih ruang itu, dengan tekun menyapu serta mengutip pelbagai jenis sampah atau plastik bertaburan di kawasan sekitar.
Meskipun tidak kelihatan di mata ramai, peranan mereka amat penting dalam mengekalkan imej bandar, dengan setiap sudut bazar dibersihkan rapi hasil perancangan teliti dan dedikasi sepanjang Ramadan.
Pengawas Pembersihan Wilson Kondo berkata tugas membersihkan kawasan bazar bukan sekadar rutin sebaliknya memerlukan perancangan, komitmen dan pematuhan jadual disediakan supaya kerja pembersihan dapat dilaksanakan dengan lancar serta teratur.
"Kami bekerja mengikut jadual kerja penggiliran iaitu pada sebelah pagi dan petang. Pembersihan kawasan bazar Ramadan di sini dibuat sebelum dan selepas selesai operasi. Ada juga pembersihan susulan," katanya kepada Bernama.
Wilson berkata kerja pembersihan selepas bazar ditutup merupakan antara fasa paling mencabar terutama apabila melibatkan jumlah sisa yang banyak.
“Selepas peniaga kemas khemah, barulah kami boleh buat pembersihan sepenuhnya. Tempoh pembersihan bergantung kepada keadaan lapangan. Kalau sampah banyak, memang ambil masa lebih lama.
"Kadang-kadang ada khemah (jualan) lambat ditutup, jadi kami tidak boleh masuk membuat pembersihan kawasan bazar. Selain itu, kenderaan yang keluar masuk untuk mengangkut barang juga menyukarkan kerja," katanya berkongsi cabaran dihadapi sepanjang menjalankan tugas pembersihan kawasan bazar Ramadan.
Berkongsi pengalaman bertugas membersihkan kawasan bazar Ramadan, Marcella Felix pula berkata kerja pembersihan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat sekitar 30 minit kerana dilakukan secara berkumpulan, namun bergantung juga kepada keadaan sekitar.
"Pembersihan kedua sekitar 7.30 malam dan selalunya dapat diselesaikan dalam tempoh singkat hasil kerjasama berpasukan bukan satu orang. Kami sudah biasa, jadi tahu kawasan mana yang perlu diberi perhatian," katanya.
Sebelum ini Bernama melaporkan DBKK merekodkan peningkatan jumlah sisa pepejal antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding hari biasa berikutan pertambahan aktiviti perniagaan dan operasi bazar.
Secara purata bandar raya itu merekodkan antara 400 hingga 500 tan sisa pepejal sehari pada hari biasa, manakala sepanjang Ramadan purata yang dicatatkan ialah kira-kira 500 hingga 600 tan sehari.
DBKK masih mampu menguruskan tambahan itu dengan baik walaupun berlaku peningkatan antara 15 hingga 20 peratus.
Pada tahun ini, dianggarkan 20 hingga 25 tapak bazar Ramadan beroperasi di bawah pemantauan DBKK menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Kesihatan Sabah.
-- BERNAMA
