CHUKAI, 20 Mac (Bernama) -- Pemeteraian Perjanjian Penyelesaian antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Kerajaan Negeri Terengganu bagi memperkemas status pemberimilikan ladang komersial yang melibatkan enam daerah di negeri ini diyakini mampu memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti peneroka.
Exco Ekonomi Felda Wilayah Terengganu Datuk Bahari Abdullah berkata perjanjian itu turut membuka laluan kepada pelaksanaan semula pelbagai inisiatif pembangunan yang sebelum ini tertangguh.
Beliau berkata penyelesaian berkenaan membolehkan perancangan strategik Felda diteruskan secara menyeluruh, termasuk pembangunan infrastruktur, peningkatan produktiviti serta pendapatan peneroka, selain pengukuhan program kebajikan komuniti.
“Ini merupakan perkembangan positif yang dinanti-nantikan oleh peneroka bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan agenda pembangunan yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Bahari yang juga Ketua Peneroka Felda Neram 2 berkata Felda Wilayah Terengganu kini mempunyai seramai 7,458 peneroka di 21 tanah rancangan.
Pada Rabu lepas, Felda dan Kerajaan Negeri Terengganu secara rasmi memeterai Perjanjian Penyelesaian bagi memperkemas status pemberimilikan ladang komersial yang melibatkan enam daerah, iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.
Felda memaklumkan langkah signifikan itu adalah kesinambungan kepada sejarah panjang kerjasama yang bermula sejak 1969 melalui Perjanjian-Perjanjian Rancangan Kemajuan Tanah (Perjanjian Negeri Terengganu) berasaskan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530).
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan notis larangan pencerobohan terhadap tanah yang diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar selepas mendakwa kawasan berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.
Notis itu diserahkan secara serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Bagaimanapun, kerajaan negeri kemudian melanjutkan tempoh remedi kepada Felda susulan perkembangan positif hasil rundingan antara kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
