BUKIT MERTAJAM, 20 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar menyambut Aidilfitri secara sederhana dan berhemah dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta ketidaktentuan global.
Beliau berkata meskipun sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tradisi penting masyarakat Islam di negara ini, rakyat disaran mengelakkan pembaziran dan mengutamakan keperluan asas.
“Memang kita mahu menyambut Aidilfitri, tetapi saya ingin menasihatkan supaya bersederhana. Jika kebiasaannya menyediakan tujuh jenis kuih, mungkin boleh dikurangkan kepada empat. Begitu juga dengan penyediaan ketupat, tidak perlu berlebihan.
“Kita perlu sentiasa beringat dan menyimpan sedikit sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika berucap pada program Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di sini, hari ini.
Beliau berkata situasi global termasuk konflik antarabangsa memberi kesan kepada kestabilan ekonomi, khususnya membabitkan bekalan minyak dan gas.
“Tengok sahaja peperangan yang berlaku, ia memberi kesan kepada harga minyak dan gas. Kita masih mampu bertahan kerana pengurusan yang baik, namun rakyat perlu terus berwaspada dan berbelanja secara berhemah,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata amalan berjimat cermat penting bagi memastikan kestabilan kewangan isi rumah, terutama ketika berdepan kenaikan harga barangan akibat gangguan rantaian bekalan global.
Beliau yang dalam lawatan kerja singkat ke Pulau Pinang hari ini turut mengingatkan bahawa Ramadan seharusnya menjadi medan latihan untuk membentuk disiplin diri, termasuk dalam mengawal perbelanjaan.
Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Aidilfitri esok.
-- BERNAMA
