KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Tarikh 22 Mac bersempena dengan ulang tahun kelahiran Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, diwartakan sebagai Hari Seniman bagi mengenang karya serta jasa bakti penggiat seni yang mewarnai dunia seni tanah air.
Kementerian Komunikasi menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan sambutan itu menjadi simbol penghargaan kepada penggiat seni tanah air untuk terus berkarya, memartabatkan budaya serta memupuk kreativiti dalam menyatukan masyarakat melalui seni.
Sementara itu, Arkib Negara Malaysia memaklumkan sambutan berkenaan juga bagi memperingati ulang tahun kelahiran ke-97 seniman agung itu, yang terus dikenang sebagai ikon seni serba boleh dalam bidang lakonan, pengarahan dan muzik.
Menurut hantaran di Facebook agensi itu, P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang dan merupakan anak kepada seorang ahli pelayaran berasal dari Lhokseumawe, Aceh manakala ibunya berasal dari Kubang Buaya, Butterworth.
Allahyarham menerima pendidikan di beberapa institusi, bermula daripada Sekolah Melayu Kampong Jawa dari 1935 hingga 1938, Sekolah Inggeris Francis Light (1939), Sekolah Tentera Laut Jepun-Kaigun Gaiko (1942-1944) dan Penang Free School (1947).
“Semangat perpaduan yang beliau semai dan tonjolkan dalam filem telah menjadikan filem-filem beliau masih diminati hingga ke hari ini dan lagu-lagu dendangan beliau masih menjadi kegemaran setiap lapisan masyarakat,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
