AM

DARI KLANG KE CHENGDU, PENARI MUDA CURI TUMPUAN DI PENTAS GLOBAL

22/03/2026 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Penari berusia 11 tahun dari Klang, Selangor mengharumkan nama negara apabila merangkul hadiah pertama pertandingan tarian antarabangsa berprestij The Dance of Asia 2026 di Chengdu, China, semalam. 

Pelajar  Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Highlands, Yoshnaa Logenthiran meraih Anugerah Emas bagi kategori Bawah-13 dan Anugerah Perak untuk persembahan keseluruhannya pada acara yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lepas.

Berkongsi detik gembira itu, usahawan B. Mohanaeswary, 42, menyifatkan pencapaian itu sebagai detik kejayaan yang sangat istimewa untuk keluarga kerana menjadi penampilan pertama anak sulungnya di pentas antarabangsa.

“Yoshnaa mula menari sejak usia lima tahun (dan) banyak mendedikasikan masanya untuk menyempurnakan teknik dan rutin. Pencapaian ini benar-benar ganjaran kepada kerja keras serta ketekunannya,” katanya kepada Bernama. 

Ibu kepada dua anak itu berkata melihat Yoshnaa bersinar di pentas antarabangsa dan menyerlah dalam kalangan penari berbakat dari seluruh Asia Pasifik merupakan detik yang luar biasa.

“Sebelum ini, Yoshnaa hanya bertanding pada peringkat tempatan, jadi ini pengalaman baharu baginya. Ia mencabar dan dalam masa sama mengujakan. Kami amat bangga dengan persembahannya,” kata Mohanaeswary yang menemani anaknya ke pertandingan itu.

Mereka dijangka tiba di Malaysia pada 6.30 petang hari ini. 

Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, ASP S. Logenthiran yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berkata beliau berasa sangat bangga dan gembira semasa nama anaknya diumumkan sebagai pemenang pertandingan itu. 

“Saya sangat terharu melihat semua usaha kerasnya membuahkan hasil. Ia antara saat paling membanggakan dalam hidup saya,” katanya.

Logenthiran berkata walaupun tidak dapat menemani isteri dan anak ke Chengdu disebabkan komitmen kerja, namun beliau sentiasa mengikuti rapat perkembangan pertandingan itu dan juga video yang dikongsikan ahli keluarga. 

“Walaupun jauh, saya merasakan setiap emosi seperti berada di sana dengan mereka. Melihat anak membuat persembahan dengan yakin dan gemalai di pentas antarabangsa sangat mengagumkan. Saya sangat bangga dengan dedikasi, bakat dan cara dia mewakili keluarga kami dan negara,” katanya

The Dance of Asia ialah platform antarabangsa yang meraikan pergerakan dan ekspresi seni yang menampilkan pelbagai kategori antaranya balet, tarian perut, hip hop, K-pop serta tarian Latin.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan