JOHOR BAHRU, 23 Mac (Bernama) -- Kerja memasang semula jeriji penghadang pada tingkat dua di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini yang tercabut hingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun terjatuh, siap dilakukan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pemasangan dilakukan segera oleh kontraktor selepas perbincangan dengan Bahagian Kejuruteraan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).
“Kita juga akan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua struktur jeriji di kawasan PPR itu bagi memastikan keselamatan penghuni.
“Didapati terdapat beberapa handrail (susur tangan) yang memerlukan pembaikan segera demi keselamatan. Laporan penuh perkara itu sedang diusahakan,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Jafni berkata jeriji penghadang yang terlibat mungkin rosak memandangkan PPR Desa Mutiara kini berusia 19 tahun.
Beliau berkata pegawai PKPJ telah menziarahi bapa mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga terlibat.
Kejadian itu tular dalam kumpulan WhatsApp sejak malam tadi.
Sementara itu, mangsa Laila Annisa Aulia Mohamad Khairul Nizam masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah di sini dan difahamkan mengalami pendarahan di dalam kepala.
Mohamad Khairul Nizam, 48, semasa dihubungi berkata anaknya masih di Unit Rawatan Rapi Pediatrik selepas menjalani pembedahan.
Bapa kepada lima anak itu bersyukur kerja pemasangan jeriji penghadang itu telah dilakukan.
-- BERNAMA
