SEPANG, 24 Mac (Bernama) -- Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) seliaan Jabatan Penjara Malaysia terus membuktikan keberkesanan sebagai platform membentuk keinsafan dan memberi nafas baharu kepada banduan untuk berubah serta membina kehidupan lebih positif.
Ibarat peluang kedua bagi banduan yang layak, PRP menjadi medan persediaan awal untuk pengintegrasian dan penyesuaian semula ke dalam komuniti sebelum mereka mengikuti program parol atau dibebaskan.
Penghuni PRP Sepang atau Orang Diselia (ODS) yang hanya mahu dikenali sebagai Syah, 41, berkata sepanjang berada di pusat itu, dia mengikuti pelbagai latihan kemahiran termasuk pembuatan makanan seperti kek, donat, piza dan sushi, selain kemahiran pertanian melibatkan tanaman betik, timun dan sayur-sayuran.
“Di sini lebih terbuka kalau dibandingkan di penjara, maksudnya persekitaran bebas tapi dengan kawalan ketat dan menitikberatkan disiplin tinggi. Saya juga berkesempatan menunaikan solat tarawih setiap hari sepanjang Ramadan dan syukur dapat mendekatkan diri dengan Allah,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Aidilfitri bagi PRP Sepang di sini hari ini.
Shah yang juga bapa anak satu itu sebelum ini berada di Penjara Sungai Buloh selama empat tahun dan Penjara Kajang setahun atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dia kini bersedia untuk membuka lembaran baharu apabila dibebaskan pada Mei ini.
Pada program itu, Shah dilihat beramah mesra bersama ibu mentua dan anak perempuan berusia 12 tahun, yang hadir meluangkan masa bersamanya.
Seorang lagi ODS Syamsul, 37, yang berada di Penjara Kajang sejak 2021 mula menghuni PRP Sepang pada Oktober 2025 dan bersyukur dapat menyertai program di PRP termasuk bekerja di sebuah syarikat kurier di Shah Alam.
“Mungkin saya akan terus bekerja di syarikat itu selepas dibebaskan atau membantu isteri dalam perniagaan cetakannya,” kata bapa empat anak yang akan dibebaskan pada Oktober 2027.
Syamsul ketika ditanya mengenai pengalaman bersemuka secara fizikal bersama ahli keluarga sempena hari raya mengakui berasa sebak kerana sokongan yang diberikan menjadi motivasi untuk terus berubah ke arah kebaikan.
“Saya menyesali perbuatan saya, mujur isteri dan anak faham. Anak bongsu saya ketika masuk penjara baru umur setahun lebih dan perkara pertama yang akan saya lakukan setelah dibebaskan adalah pergi bercuti dengan mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua PRP Sepang Penolong Penguasa Penjara Mohammad Hilmi Rasol berkata program lawatan keluarga yang diadakan hari ini menjadi platform penting dalam memperkukuh sokongan moral terhadap ODS sepanjang menjalani proses pemulihan.
“Kami nak tunjuk bahawa proses pemulihan ini bukan hanya berlaku dalam institusi tetapi memerlukan sokongan keluarga untuk memastikan mereka benar-benar berubah dan kami mahu mereka kembali kepada masyarakat dalam keadaan lebih normal serta tanpa prejudis,” katanya.
Beliau berkata ODS di PRP Sepang bukan sahaja menjalani pemulihan tetapi turut bekerja dengan syarikat luar yang sudi menerima mereka, malah ada syarikat yang mengambil mereka dalam kapasiti besar kerana kepercayaan terhadap sistem PRP.
Selain itu, Mohammad Hilmi berkata penerimaan komuniti terhadap ODS semakin positif, khususnya melalui penglibatan dalam aktiviti seperti gotong-royong, majlis kenduri dan program sekolah.
Berkeluasan 18.61 hektar, PRP Sepang yang mempunyai kekuatan 86 anggota mula beroperasi pada 11 Jan 2021 dan kini mempunyai 457 ODS dan 280 orang daripada angka itu mengikuti program industri di luar, iaitu bekerja dengan majikan luar sambil diiringi pegawai PRP.
-- BERNAMA
