EKONOMI

RANHILL SAJ, YES PACU LANGGANAN JALUR LEBAR MENERUSI BAUCAR AIR DI JOHOR

25/03/2026 04:27 PM

JOHOR BAHRU, 25 Mac (Bernama) -- Ranhill SAJ bekerjasama dengan penyedia khidmat telekomunikasi Yes menawarkan isi rumah Johor dengan baucar bulanan RM10.50 yang dikreditkan ke dalam bil air selama enam bulan menerusi langganan jalur lebar terpilih.

Langkah itu bertujuan meringankan kos sara hidup sambil meningkatkan kesalinghubungan digital di seluruh negeri berkenaan, menurut kenyataan bersama dua syarikat itu hari ini.

Di bawah kerjasama itu, isi rumah layak yang melanggan pelan jalur lebar Yes 5G akan menerima baucar berkenaan dengan menggabungkan perkhidmatan penting bagi menyokong isi rumah selain melonjakkan lagi agenda digital Johor.

Yes merupakan jenama di bawah YTL Communications Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif interim Ranhill SAJ, Mohd Hedzir Hanafi menyifatkan inisiatif itu sebagai mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti yang menerima perkhidmatan syarikat berkenaan.

“Peranan kami melangkaui pembekalan perkhidmatan air selamat dan diyakini semata-mata. Kami juga komited dalam usaha meningkatkan kehidupan harian isi rumah yang menerima khidmat kami.

“Menerusi kerjasama dengan Yes, kami dapat memperkenalkan penjimatan bermakna untuk keluarga dan pada masa sama menggalakkan penglibatan digital lebih meluas melalui aplikasi Ranhill SAJ. Ini satu lagi langkah ke arah membina Johor yang lebih berhubung dan diperkasa secara digital,” katanya dalam kenyataan itu.

Selaku penyedia perkhidmatan air Johor, Ranhill SAJ membekalkan air terawat kepada isi rumah dan perniagaan di seluruh negeri itu.

Pada masa sama, sambungan internet semakin penting dalam menyokong pendidikan, pekerjaan dan akses kepada perkhidmatan digital.

Di bawah pelan jalur lebar Yes, isi rumah boleh menikmati data 5G tanpa had dan kelajuan pada harga bermula daripada RM68 sebulan selain manfaat baucar bil air.

Para pelanggan turut menerima satu peranti penghala secara percuma selain akses iQIYI selama setahun sebagai sebahagian daripada pakej.

Pemasangan WiFi rumah jenis plug-and-play tidak memerlukan pendawaian yang membolehkan sambungan secara cepat dan mudah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Wing K Lee berkata kerjasama itu membuktikan peranan kesalinghubungan dalam melengkapkan perkhidmatan asas dan menyokong komuniti.

“Ketersambungan internet yang diyakini sudah menjadi satu keperluan untuk isi rumah pada masa ini. Menerusi kerjasama dengan Ranhill SAJ, kami berbangga dapat membawa rangkaian 5G Malaysia ke lebih banyak rumah di Johor,” katanya.

Inisiatif itu juga bertujuan menggalakkan penglibatan digital lebih ketara dalam kalangan penduduk Johor.

Pelanggan digalakkan memuat turun aplikasi mudah alih Ranhill SAJ untuk mengurus akaun air masing-masing, mendapat akses maklumat bil selain menerima sebarang kemas kini berkaitan perkhidmatan.

Penduduk Johor boleh menyertai usaha itu dengan memuat turun aplikasi mudah alih Ranhill SAJ, melanggan pelan jalur lebar Yes yang layak serta menghantar nombor akaun air SAJ bagi tujuan pengesahan.

Setelah disahkan dan diaktifkan, mereka akan menerima baucar bulanan RM10.50 yang dikreditkan ke dalam bil air selama enam bulan.

Langganan itu juga boleh dibuat melalui laman sesawang Yes atau di cawangan Yes terpilih di seluruh Johor.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan