KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 hari ini berlangsung dalam suasana penuh penghormatan dan semangat patriotik di seluruh negara, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah lebih dua abad mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Sambutan yang diadakan di seluruh negara itu bukan sahaja memperingati sejarah penubuhan pasukan keselamatan berkenaan, malah mengiktiraf dedikasi anggota polis yang terus berkhidmat dengan penuh komitmen kepada masyarakat dan negara.
Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sambutan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini yang turut melancarkan Buku MESRA PDRM - Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak & Remaja.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan timbalannya Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Di SELANGOR, sebanyak 200 individu merangkumi pegawai, anggota, pesara polis dan orang awam diraikan pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Soo Jin, Kapar.
Pada sambutan itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao menyampaikan sijil penghargaan kepada 50 penerima, termasuk 20 orang awam, sebagai pengiktirafan atas kerjasama penuh mereka dalam membantu tugas kepolisan, perkongsian maklumat serta penglibatan aktif dalam program anjuran polis sepanjang tahun lepas.
Di NEGERI SEMBILAN, sambutan disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Mohd Nasharudin Mohd Shariff yang turut membacakan perutusan Ketua Polis Negara di hadapan 275 pegawai dan anggota.
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 17 individu termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan, orang awam dan pihak media sebagai tanda pengiktirafan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam membantu PDRM.
Sementara di PAHANG, Ketua Polis Negeri Datuk Seri Yahaya Othman menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Kompleks Logistik PDRM, Kuantan yang turut menyampaikan surat penghargaan kepada 22 anggota dan pegawai polis serta orang awam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta dedikasi mereka.
Di TERENGGANU, sebanyak 43 penerima terdiri daripada anggota, pegawai dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu dianugerahkan sijil penghargaan sempena khidmat cemerlang pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu yang diserikan dengan deklamasi sajak, persembahan Tarian Perang dan montaj khas.
Sambutan yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Suffian Sulaiman, yang turut dihadiri kira-kira 500 anggota dan pegawai seluruh negeri.
Sementara itu di PERLIS, sambutan disempurnakan Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Zaihairul Idrus di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar, yang turut menyampaikan surat penghargaan kepada 48 penerima terdiri daripada rakan strategik PDRM, antaranya Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), polis bantuan, pesara polis dan pengamal media.
Di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mewakili Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail membacakan perutusan Ketua Polis Negara di hadapan 400 pegawai serta penjawat awam yang hadir pada sambutan yang diadakan di Dewan Komuniti Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Batu Uban, di George Town.
Mohd Alwi turut menyampaikan surat penghargaan Ketua Polis Negeri kepada 14 rakan strategik termasuk Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Datuk S. Karunanithy dan 17 warga PERKEP atas sumbangan serta kerjasama yang diberikan kepada Polis Pulau Pinang.
Dalam pada itu, di SARAWAK, sambutan peringkat negeri disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri DCP Saifullizan Ishak pada majlis yang berlangsung di IPK Sarawak.
Pada majlis itu, pegawai dan anggota polis serta orang awam menerima surat penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan dedikasi mereka kepada pasukan Sang Saka Biru dan masyarakat di samping upacara pemotongan kek sebagai simbolik sambutan berkenaan.
-- BERNAMA
