JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SELANGOR NAFI KUTIPAN SUMBANGAN MAJLIS RAYA, SAHKAN CUBAAN PENIPUAN

25/03/2026 10:13 PM

SHAH ALAM, 25 Mac -- Polis Selangor menafikan penglibatan Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 yang tular melalui mesej hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata mesej yang mendakwa majlis itu akan diadakan di Dewan Serbaguna IPK Selangor esok, serta melibatkan kutipan sumbangan ke akaun MBSB Bank atas nama Norfadilah Md Nor adalah tidak benar.

“Perkara ini satu cubaan penipuan (scam) yang bertujuan mengaut keuntungan serta mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan mesej berkenaan dan tidak melakukan sebarang transaksi ke akaun yang dinyatakan.

Beliau turut meminta individu yang telah membuat sumbangan tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan nama jabatan atau identiti PDRM bagi tujuan penipuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan