GUA MUSANG, 26 Mac (Bernama) -- Ketidakstabilan tekanan di loji rawatan air (LRA) serta kekerapan paip utama pecah antara faktor penduduk di Kampung Tanah Putih di sini mengalami gangguan bekalan air.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan selepas LRA Bukit Chupak beroperasi pada Februari, kawasan agihan LRA Sungai Ketil turut mengalami peningkatan tekanan hingga menyebabkan hampir setiap hari berlaku insiden paip utama pecah terutamanya di kawasan Bandar Baru.
"Kekerapan paip utama pecah serta kebocoran tangki Sekolah Menengah Sains Gua Musang juga telah menyebabkan tangki utama di LRA Sungai Ketil menjadi tidak stabil.
"Kawasan Kampung Tanah Putih merupakan kawasan tinggi serta berada di penghujung bekalan paip. Apabila berlaku gangguan bekalan air atau kekerapan paip pecah, ia akan mengambil masa untuk pulih seperti sediakala," menurut kenyataan AKSB.
AKSB telah mengambil langkah proaktif untuk meminimumkan gangguan bekalan air dengan membaiki segera paip utama yang pecah, membuat penghantaran air melalui lori tangki, menambah kapasiti pengeluaran di LRA Sungai Ketil serta memeriksa dan selenggara injap secara kerap.
Pengguna boleh menghubungi AKSB Careline PINTAS di talian 15777 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
-- BERNAMA
