AM

TIADA KES STROK HABA DIKESAN DI PULAU PINANG, KEADAAN TERKAWAL - EXCO

26/03/2026 03:01 PM

GEORGE TOWN, 26 Mac (Bernama) -- Tiada kes strok haba dikesan berlaku di Pulau Pinang berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen.

Beliau berkata semakan dengan Jabatan Kesihatan Negeri menunjukkan tiada sebarang kejadian dilaporkan dan keadaan setakat ini masih terkawal. 

“Beberapa hari ini cuaca memang agak panas dan terik jadi saya menyeru orang awam supaya sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan situasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian kerjasama antara Penang FC dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi pengurusan dan pembangunan bola sepak Piala Belia dan Piala Presiden Musim 2026, di Komtar, hari ini.

Sehubungan itu, Gooi menasihati orang ramai supaya minum lebih banyak air, mengelakkan pakaian gelap yang mudah menyerap haba, selain mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak risiko kesihatan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan menerusi pemantauan berterusan dilaksanakan kerajaan dari 1 Jan hingga 24 Mac dengan 11 kes kelesuan haba dilaporkan selain satu kes kejang haba dan tiga strok haba.

Isnin lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada di bawah tahap satu (amaran), termasuk daerah Timur Laut di Pulau Pinang.

Tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, manakala tahap satu (tahap berjaga-jaga) merujuk kepada suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius sepanjang tempoh yang sama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan