KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia turun 3.4 peratus tahun ke tahun pada Februari 2026 selepas penurunan 2.9 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan itu didorong terutamanya oleh kelemahan berterusan dalam sektor utama, khususnya pertanian, perlombongan dan pembuatan.
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menurun 8.7peratus (Januari 2025: -8.3 peratus), dipengaruhi oleh penurunan sebanyak 15.1 peratus dalam indeks penanaman tanaman kekal.
"Sektor perlombongan terus merosot 8.5 peratus (Januari 2026: -11.7 peratus), didorong oleh penurunan dalam indeks pengekstrakan gas asli (-14.2 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-6.4 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata berkata sektor pembuatan juga menurun 2.7peratus (Januari 2026: -1.7 peratus), terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-10.6 peratus) serta pembuatan produk makanan (-5.2 perauts).
Sebaliknya, indeks bekalan air meningkat 11.9 peratus, manakala indeks bekalan elektrik dan gas naik sebanyak 4.7 peratus.
Mohd Uzir berkata pada asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan turun perlahan 0.5peratus pada Februari selepas peningkatan 0.1 peratus pada Januari 2026.
“Sektor pembuatan merosot 0.8 peratus (Januari 2026: -0.2 peratus), berikutan penurunan dalam indeks kok dan produk petroleum bertapis (-4.2 peratus) serta produk makanan (-0.7 peratus).
“Indeks bekalan air turun 0.3 peratus, manakala bekalan elektrik dan gas susut 0.1 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, sektor perlombongan mencatat peningkatan lebih perlahan sebanyak 0.4 peratus (Januari 2026: 1.9 peratus), disokong oleh indeks petroleum mentah (2.7 peratus). Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 1.0 peratus (Januari 2026: 0.3 peratus).
Mohd Uzir berkata semua peringkat pemprosesan terus mencatat perubahan negatif tahun ke tahun pada Februari 2026.
Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun tujuh peratus (Januari 2026: -7.5 peratus) berikutan penurunan bahan bukan makanan (-9.5 peratus).
Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen menguncup 3.1 peratus (Januari 2026: -2.3 peratus), dipengaruhi oleh penurunan bahan api dan pelincir diproses (-9.3 peratus).
Sementara itu, indeks barang siap menurun 1.1 peratus (Januari 2026: -0.6 peratus), susulan penurunan dalam peralatan modal (-2.3 peratus).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 0.7 peratus, manakala indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen serta barangan siap masing-masing susut satu peratus dan 0.3 peratus.
Perbandingan dengan beberapa ekonomi terpilih menunjukkan pelbagai trend pada Februari 2026.
IHPR Jepun meningkat 2.0 peratus tahun ke tahun, susut daripada 2.3 peratus sebelum ini. China kekal dalam deflasi pengeluar, menurun 0.9 peratus, menandakan bulan ke-41 berturut-turut mencatat penguncupan.
IHPR Thailand turut susut 0.5 peratus, melanjutkan penurunan bagi bulan ke-12 berturut-turut, selari dengan trend di Malaysia.
Mengenai harga komoditi, Mohd Uzir berkata Bank Dunia melaporkan purata harga minyak mentah Brent ialah US$71.11 setong pada Februari 2026, meningkat daripada US$66.77 sebulan sebelumnya berikutan keadaan pasaran dan risiko geopolitik.
Bagaimanapun, secara tahun ke tahun, harga itu sedikit lebih rendah berbanding US$75.16 setong pada Februari 2025.
Sementara itu, purata harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat kepada RM4,077.50 satu tan pada Februari 2026 daripada RM4,018.50 pada Januari 2026, berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
DOSM berkata peningkatan itu merupakan kenaikan bulanan pertama sejak November 2025.
-- BERNAMA
