KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Penyelarasan sementara Budi MADANI RON95 (BUDI95) bermula pada 1 April ini, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter dilihat sebagai langkah penyesuaian dasar yang mengambil kira realiti ekonomi global serta tekanan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat.
Sebahagian rakyat yang ditemui Bernama berpendapat jumlah kuota bahan api yang diselaraskan sementara daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan dengan pengekalan harga bersubsidi itu tetap memberikan kelegaan dalam mengurus perbelanjaan harian mereka.
Malah, mereka juga memahami ketetapan sementara itu disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi ketika ini dan langkah yang dilaksanakan Kerajaan MADANI merupakan satu keperluan strategik untuk memperkukuh daya tahan negara serta memastikan kelangsungan kredibiliti ekonomi jangka panjang.
Di KEDAH, seorang penghantar makanan, Muhammad Irfan Zhafir Ahmad, 36, bersyukur kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada kadar berkenaan, malah anak kelahiran Jitra itu yakin bahawa kerajaan mengambil kira semua aspek, khususnya kepentingan rakyat sebelum memuktamadkan perkara tersebut.
"Tambahan pula, langkah ini hanya untuk sementara waktu, kalau keadaan perang yang sedang berlaku ini pulih, mungkin kerajaan akan kembalikan kuota BUDI95 pada jumlah asal,” katanya kepada Bernama.
Penjawat awam, Isma Ismail, 44, pula berkata harga RON95 bersubsidi yang dikekalkan masih boleh membantu rakyat, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Di TERENGGANU, seorang pekerja swasta Azlan Adli, 46, yang tinggal di Kampung Losong, Kuala Nerus, memahami keputusan kerajaan untuk menyelaraskan sementara BUDI95 serta menyifatkan pelaksanaan itu tidak dapat dielakkan susulan konflik di Asia Barat.
"Sebulan sekali saya akan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan kerana isteri dan anak-anak tinggal di sana. Selain itu, kerja sebagai wartawan juga memerlukan saya sentiasa keluar ke lapangan. Dalam sebulan anggaran penggunaan petrol agak tinggi … lebih 300 liter. Jadi, lepas ini saya mungkin pertimbangkan pulang ke kampung dengan menaiki bas supaya dapat jimat petrol dan boleh rehat," katanya.
Di PERAK, Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin berkata langkah penyelarasan sementara BUDI95 bukanlah penghapusan subsidi, sebaliknya satu usaha untuk menjadikan mekanisme subsidi lebih tepat dan bersasar.
“Dalam keadaan harga minyak global yang tidak menentu serta perubahan struktur tenaga negara daripada pengeksport bersih kepada keadaan yang semakin bergantung pada import, kerajaan perlu memastikan sumber yang terhad digunakan untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan tidak terus disalahgunakan atau mengalami ketirisan.
"Berdasarkan penjelasan kerajaan, sebahagian besar rakyat tidak akan terkesan, manakala pemandu e-hailing dan sektor tertentu masih menerima kuota yang lebih tinggi, menunjukkan dasar ini bukan mengurangkan kebajikan rakyat, tetapi menutup kelemahan lama dalam sistem termasuk aktiviti penyeludupan dan penggunaan berlebihan oleh golongan yang bukan sasaran," katanya dalam kenyataan.
Di KELANTAN, seorang peniaga gerai makanan Ahmad Farhan Ilias, 42, berkata pendekatan strategik dilakukan oleh kerajaan itu adalah untuk mengelakkan ketirisan berlaku, terutamanya penyeludupan di kawasan yang bersempadan dengan negara jiran.
"Walaupun langkah ini sementara waktu, bagi saya ia amat bertepatan dengan situasi ekonomi global susulan konflik di Asia Barat," katanya.
Di MELAKA, seorang pekerja swasta Zairin Ahad, 35, menganggap penyelarasan sementara BUDI95 serta pengekalan harga subsidi petrol itu ialah langkah yang wajar dan tepat pada masanya.
"Dengan pelaksanaan ini, saya rasa ia mampu menjamin kelangsungan minyak negara memandangkan dalam masa yang sama, kita ada pelbagai alternatif termasuk bekerja dari rumah," katanya.
Ketika perutusan khas semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan semula subsidi bersasar itu dilakukan setelah kerajaan meneliti purata penggunaan BUDI95 kira-kira 100 liter sebulan, malah hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, sekali gus tidak menjejaskan pengguna.
“Langkah ini bersifat sementara menunggu bekalan minyak dan keadaan ekonomi dunia pulih, namun setakat ini, tiada tanda-tanda ke arah itu,” kata Perdana Menteri.
Anwar turut merayu kepada rakyat supaya tidak berasa tertekan dan memahami bahawa langkah diambil adalah sangat teliti dan berhemat berikutan tekanan yang dihadapi negara ketika ini.
-- BERNAMA
