KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Misi “Hebatkan Perniagaan Malaysia” menjadi fokus utama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim dalam tempoh 100 hari beliau menerajui kementerian berkenaan.
Sim berkata sepanjang tempoh itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencatat pelbagai pencapaian penting merangkumi peningkatan dana pembiayaan, pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengukuhan ekosistem keusahawanan negara.
“Seratus hari di KUSKOP bersama usahawan Malaysia. Terima kasih warga KUSKOP, you delivered (anda berjaya)! Fokus saya satu sahaja, Hebatkan Perniagaan Malaysia. Kita nak ‘Power Up’ (hebatkan) bisnes rakyat Malaysia tak kira kaum dan agama. Power Up, Jalan Teruih (terus)!,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran itu, Sim turut berkongsi infografik pencapaian 100 hari beliau sebagai menteri berkenaan, antaranya dana pembiayaan bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM500 juta.
Sim juga memperkenalkan skim pembiayaan baharu berjumlah RM100 juta melalui SME Bank dan Bank Rakyat bagi membantu PMKS kaum Cina, serta dana pembiayaan untuk usahawan India melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) turut dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta.
Selain itu, Skim Biaya Ramadan dan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) bernilai RM50 juta turut diperkenalkan untuk PMKS bumiputera sempena Ramadan di samping menyediakan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) berjumlah RM30 juta di bawah SME Corp khusus untuk PMKS Cina sempena Tahun Baharu Cina.
Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) berjumlah RM3 bilion turut disediakan yang memanfaatkan 300,000 usahawan wanita di Malaysia.
Dalam pada itu, perjanjian perniagaan bernilai RM2 bilion telah ditandatangani melalui Forum Halal Makkah 2026, selain KUSKOP mencatat nilai jualan RM90 juta menerusi penyertaan di Japan Foodex.
Usaha memperkasakan koperasi turut diperkukuh dengan peruntukan RM254 juta yang disifatkan sebagai tertinggi dalam sejarah, serta pelaksanaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Business School bagi menjadikan gerakan koperasi sekolah sebagai platform “Sekolah Perniagaan” kepada pelajar.
Kementerian itu juga melaksanakan rekayasa melibatkan pengurangan proses kerja serta penurunan kadar faedah dan fi yang tidak diperlukan bagi memudahkan urusan peniaga.
Inisiatif PowerUp10k diperkenalkan dengan visi meningkatkan kapasiti dan keupayaan 10,000 syarikat Malaysia, selain kerjasama dengan TikTok Shop yang memperkasa lebih 3,000 usahawan PMKS, dengan 700 daripadanya mencatat jualan melebihi RM28 juta.
Sebagai sebahagian daripada pengembangan digital, TikTok Shop Live Hub turut diperluas ke Pahang dan Pulau Pinang.
-- BERNAMA
