SUKAN

BJFC BANGUNKAN BAKAT BOLA SEPAK AKAR UMBI DI TAPAH

28/03/2026 09:38 AM

KAMPAR, 28 Mac (Bernama) -- Kelab Bola Sepak Bintang Juara FC (BJFC) komited membangunkan bakat di peringkat akar umbi di sekitar Tapah dan kawasan berhampiran meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak penubuhannya tiga tahun lepas.

Presidennya Hanifah Abd Samad berkata usaha menubuhkan kelab itu bermula selepas beliau pulang ke kampung halaman di Chenderiang ketika pandemik COVID-19 dengan hasrat memberi sumbangan kepada pembangunan sukan bola sepak di kawasan luar bandar.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, kami berdepan pelbagai rintangan namun sokongan ibu bapa dan jurulatih menjadi kekuatan utama untuk kami terus bergerak. 

"BJFC kini mempunyai kira-kira 150 pemain pelatih berusia antara lima hingga 17 tahun termasuk penyertaan kanak-kanak seawal usia empat tahun dalam program pembangunan awal yang lebih berteraskan keseronokan bermain bola sepak," katanya pada sidang media selepas majlis Malam Gemilang Bintang Juara di sini malam tadi. 

Turut hadir Ahli Parlimen Tapah merangkap Penaung BJFC Datuk Seri M Saravanan, bekas penyerang profilik kebangsaan Indra Putra Mahayuddin serta bekas penjaga gol Perak Mohd Ali Jinnah, Nazreen Chong Abdullah dan Mohd Raffi Nagoorgani. 

Hanifah berkata pendekatan latihan di peringkat akar umbi memberi penekanan kepada asas permainan serta membina minat yang berterusan dalam kalangan pemain muda khususnya bawah lima tahun bagi membina minat, sebelum mereka meningkat ke tahap lebih kompetitif apabila usia meningkat. 

"BJFC telah berjaya melahirkan beberapa pemain yang terpilih ke program pembangunan lebih tinggi termasuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD), selain ada yang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson dan SMK King Edward VII.

“Malam ini kami meraikan sembilan pemain yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan, termasuk seorang yang berjaya menempatkan diri ke AMD. Ini bukan usaha saya seorang tetapi hasil kerjasama ibu bapa dan barisan jurulatih,” katanya.

Beliau berkata BJFC juga menjadi platform kepada pemain muda menentukan hala tuju selepas menamatkan persekolahan, khususnya bagi mereka yang ingin meneruskan kerjaya dalam bola sepak.

"Kelab ini turut membuka peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemain dari komuniti Orang Asli di sekitar kawasan Tapah, Sungkai, Bidor dan Air Kuning.

“Kebanyakan pemain datang atas minat sendiri dan kami hanya menyediakan platform serta latihan secara konsisten dua kali seminggu untuk membantu mereka berkembang,” katanya.

BJFC mempunyai lapan jurulatih yang berusaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan