DUNIA

ARAB SAUDI SASAR LALUAN ALTERNATIF EKSPORT MINYAK MENERUSI PELABUHAN YANBU

28/03/2026 09:50 AM

ISTANBUL, 28 Mac (Bernama-Anadolu) -- Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, sedang berusaha memanfaatkan laluan eksport alternatif menerusi Pelabuhan Yanbu susulan perang  berterusan di Asia Barat yang  menjejaskan aktiviti eksport.

Terletak di pantai Laut Merah, Yanbu kini menjadi komponen utama dalam strategi kerajaan itu untuk memastikan penghantaran minyak mentah tidak terganggu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik data daripada Kpler pada Rabu.

Pelabuhan itu dihubungkan ke medan minyak di timur Arab Saudi melalui saluran paip Timur-Barat sepanjang 1,200 kilometer, yang membolehkan penghantaran minyak mentah memintas Selat Hormuz.

Sebelum 28 Feb, purata eksport dari pelabuhan itu adalah sekitar 0.8 juta tong sehari. Bagaimanapun, menjelang pertengahan Mac (antara 15 hingga 26 Mac), angka berkenaan melonjak kepada kira-kira 3.94 juta tong sehari, sekali gus menunjukkan peningkatan penggunaan yang mendadak mengikut data Kpler.

Peralihan ini berlaku ketika keseluruhan eksport minyak Arab Saudi menunjukkan turun naik, dengan eksport harian merosot daripada 7.1 juta tong pada Februari kepada 4.3 juta tong pada Mac.

Laluan di Selat Hormuz terjejas sejak awal Mac. Kebiasaannya, kira-kira 20 juta tong minyak melalui selat itu setiap hari, dan gangguan berkenaan telah menyebabkan kos penghantaran meningkat serta melonjakkan harga minyak global.

Yanbu kini menjadi satu daripada dua saluran eksport utama bagi minyak mentah dari negara-negara Teluk sejak Iran menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat-Israel yang bermula pada 28 Feb.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan