AM

JPN KEDAH PANTAU BACAAN SUHU SEBELUM TENTUKAN PDPR DITERUSKAN ATAU TIDAK

29/03/2026 12:08 PM

ALOR SETAR, 29 Mac (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan terus memantau tahap bacaan suhu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum menentukan sama ada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di negeri ini akan diteruskan atau tidak.

Pengarah JPN Kedah Abdul Rahim Mat berkata pelaksanaan PdPR yang bermula pada hari ini hingga Selasa telah dilaksanakan di daerah Kota Setar dan Pendang selepas kedua-dua daerah itu merekodkan suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut.

“Sebanyak 86,030 pelajar terlibat dalam pelaksanaan PdPR ini yang melibatkan 65,634 pelajar dari 154 sekolah di daerah Kota Setar, manakala 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang. Pelaksanaan PdPR ini selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas.

“Cuaca sekarang mencecah 37 darjah Celcius dan sangat panas, sebab itu JPN ambil inisiatif buat PdPR sebab kita mahu elakkan pergerakan pelajar-pelajar ini, tidak mahu mereka terdedah dengan cuaca panas, terutamanya pada waktu puncak, tengah hari,” katanya ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun cuaca panas, sesi pembelajaran tetap berlangsung seperti biasa dan pihak JPN, sekolah serta guru telah membuat persediaan kerana peringatan awal telah dikeluarkan sejak Rabu lepas berhubung kemungkinan penutupan sekolah akan dibuat susulan cuaca panas.

“Pemantauan berterusan akan dibuat dan kita akan pantau tahap bacaan suhu yang dikeluarkan METMalaysia … kalau keadaan bacaan suhu dalam tempoh tiga hari akan datang masih sama, PdPR akan diteruskan, tetapi sekiranya sudah turun, sesi persekolahan secara bersemuka akan dijalankan seperti biasa.

“Kita mahu pastikan keselamatan dan kesihatan pelajar-pelajar ini terjaga kerana cuaca panas ini boleh menyebabkan banyak komplikasi kesihatan yang lain. Jadi, kita minta waris pelajar untuk turut sama memastikan kesihatan anak-anak terpelihara, pastikan mereka tidak terdedah dengan cuaca panas dalam tempoh yang lama,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata pihaknya mengambil maklum berkaitan masalah peranti dan talian Internet yang dihadapi sesetengah pelajar, bagaimanapun pihak sekolah telah menyediakan lembaran kerja supaya sukatan pelajaran yang telah disusun dari awal dapat disempurnakan dan dihabiskan.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultanah Asma Tengku Fariza Tengku Ibrahim berkata sebanyak 201 daripada 217 pelajar asrama sekolah itu telah kembali ke sekolah dan memulakan sesi PdPR hari ini.

“Bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga, sesi pembelajaran PdPR mereka bermula dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi tingkatan empat dan lima, sesi mereka bermula pada 8 pagi hingga 2 petang … jadual PdPR mereka berbeza, kelas akan diadakan selama satu jam sebelum berehat selama 15 minit dan kemudiannya disambung semula,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan