KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkukuh sistem makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi dan akses kepada rakyat sentiasa terjamin ketika berhadapan dengan konflik di Asia Barat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia merupakan tanggungjawab yang sedang dan akan terus dilaksanakan.
“Dalam keadaan dunia hari ini, konflik geopolitik di Asia Barat bukan sekadar isu luar negara, tetapi ia turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.
“Kita mungkin tidak nampak secara langsung, tapi impaknya boleh sampai ke meja makan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Pada 13 Mac, kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun ini walaupun ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA
