KUALA NERUS, 29 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot penumpang yang didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan dalam satu operasi rondaan di perairan Pulau Redang, di sini, semalam.
Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata bot tersebut ditahan kira-kira 3 petang pada kedudukan 26 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, selepas dilihat bergerak membawa ramai penumpang.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seramai 25 penumpang berbanding kapasiti sebenar hanya dibenarkan 12 orang sahaja seperti yang termaktub dalam lesen sah.
“Keadaan itu boleh mengundang risiko keselamatan kepada semua penumpang sekiranya berlaku kecemasan di laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah, katanya, terdapat juga kru dalam bot tersebut yang tidak memakai jaket keselamatan, sekali gus meningkatan risiko kehilangan nyawa.
“Bot tersebut dikendalikan oleh tiga orang kru warga tempatan berusia 19 hingga 23 tahun,” katanya.
Hamiludin berkata kesemua penumpang telah diarahkan turun dengan selamat manakala bot bersama kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat lesen dengan membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.
-- BERNAMA
