ALOR SETAR, 29 Mac (Bernama) -- Sebuah syarikat penyembelihan ayam di Bukit Pinang dekat sini didenda RM30,000 selepas didapati melakukan dua kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata Mahkamah Sesyen Alor Setar membuat keputusan itu hari ini, selepas mendapati syarikat tersebut gagal mematuhi standard pelepasan efluen.
Beliau berkata Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman selepas pengarah syarikat itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut.
“Kesalahan pertama ialah melepaskan efluen yang mengandungi kepekatan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD5 pada 20°C), Pepejal Terampai (SS) dan Nitrogen Ammonia (AN) melebihi had yang ditetapkan dalam Standard B, Jadual Kelima.
“Kesalahan kedua pula melepaskan efluen yang mengandungi kandungan Keperluan Oksigen Kimia (COD) melebihi had yang ditetapkan Standard B, Jadual Ketujuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata syarikat tersebut dituduh di bawah Peraturan 11(1)(b) dan 12(b) Peraturan- Peraturan Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 32 peraturan yang sama.
Beliau berkata sampel efluen yang diambil dalam operasi bersepadu oleh JAS Kedah bersama-sama agensi lain pada 22 Julai tahun lepas dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan hasil analisis kimia mendapati syarikat itu telah melakukan dua kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
-- BERNAMA
