DUNIA

HARGA PETROL TURUN, DIESEL TERUS NAIK DI KEMBOJA

29/03/2026 02:11 PM

PHNOM PENH, 29 Mac (Bernama-Xinhua) -- Harga runcit petrol di Kemboja menurun namun harga diesel terus meningkat susulan konflik Asia Barat, umum Kementerian Perdagangan sekitar tengah malam pada Sabtu, lapor Xinhua.  

Satu liter petrol biasa akan berharga 5,000 riel (USD1.25) mulai Ahad hingga notis berikutnya, turun 8.2 peratus daripada 5,450 riel dalam tempoh tiga hari lepas, menurut kementerian itu, sambil menambah diesel akan dijual pada 7,200 riel (USD1.80) seliter, naik 1.4 peratus daripada riel.

Pada Ahad juga, harga Gas Petroleum Cecair (LPG) naik kepada 3,400 riel (USD0.85) seliter, meningkat 6.2 peratus daripada 3,200 riel.

Sejak tercetusnya konflik Asia Barat, harga petrol biasa, diesel dan LPG di Kemboja meningkat masing-masing sebanyak 30 peratus, 87 peratus dan 70 peratus, menurut Kementerian Perdagangan.

Kementerian mengumumkan pada 20 Mac, kerajaan telah mengurangkan duti import dan cukai ke atas produk petrol dan diesel, bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga minyak antarabangsa dan meringankan beban pengguna. 

Negara Asia Tenggara itu bergantung sepenuhnya pada petroleum dan diesel yang diimport, kerana rizab minyak dasar lautnya masih belum dieksploitasi.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan