KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Sebanyak 11 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin akan dibicarakan serentak di Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat supaya kes berkenaan dibicarakan bersama-sama yang tidak dibantah peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd Moin yang masing-masing mewakili Muhammad Hafizuddeain serta Salwani.
“Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 18 Mei untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. Jaminan kedua-dua tertuduh dikekalkan,” kata Azura pada sebutan kes hari ini.
Terdahulu, Mahadi berkata Muhammad Hafizuddeain juga dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dengan kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini manakala Salwani didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau berkata permohonan itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 91 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), Seksyen 165 serta Seksyen 170 Kanun Prosedur Jenayah.
“Alasan permohonan dibuat kerana ia melibatkan saksi, fakta kes dan kesalahan predikat yang sama. Oleh itu, mohon kes ini dibicarakan bersama-sama dan tarikh sebutan kes ditetapkan bagi serahan dokumen,” katanya.
Pada 22 Jan, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga bank di lokasi berbeza, iaitu di Jalan Melaka, Bukit Damansara serta pusat bandar raya antara 2 Feb 2024 hingga 7 Nov 2025 dengan pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Pada tarikh sama, Salwani, 27, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik syarikat di sebuah bank cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II di sini, antara 24 Nov 2024 hingga 25 Nov 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1) (b) AMLATFPUAA dan dibaca bersama-sama Subseksyen 87(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Pada 23 Jan, Muhammad Hafizuddeain didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank di Ampang Point, Ampang antara 2 Feb 2024 hingga 19 Mei 2025.
Salwani turut dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 26 Jan atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank di Jertih dekat Besut, pada 16 Jan 2025.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) (b) AMLATFPUAA dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta serupa.
Mahkamah membenarkan jaminan Muhammad Hafizuddeain sebanyak RM250,000 manakala Salwani RM30,000.
-- BERNAMA
