PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) -- Tindakan kolektif di peringkat global diperlukan segera bagi mempercepat peralihan ke arah sifar sisa dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agenda iklim 2030, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat berkata sasaran iklim 2030 yang berteraskan Perjanjian Paris dan SDG 13 memerlukan langkah segera untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau hampir separuh menjelang 2030 serta mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius.
Beliau berkata pencapaian sasaran tersebut memerlukan iltizam politik yang kukuh, penyepaduan langkah berkaitan iklim ke dalam dasar nasional, peningkatan daya tahan serta mobilisasi pembiayaan iklim bersama-sama inisiatif pengurusan sisa mampan.
“Bandar berada di barisan hadapan dalam krisis sisa global. Tanpa tindakan tegas, penjanaan sisa dijangka meningkat dengan ketara menjelang 2050, sekali gus memberi tekanan kepada tapak pelupusan, ekosistem dan tahap kebolehdiaman bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengurusan sisa mampan merupakan asas penting dalam memperkukuh daya tahan iklim, kecekapan penggunaan sumber serta kesihatan awam, terutamanya di rantau yang pesat membangun seperti ASEAN.
Bagi menangani cabaran semakin meningkat, tiga keutamaan strategik telah digariskan bagi memajukan agenda sifar sisa di peringkat nasional dan global, termasuk mempercepat amalan ekonomi pekeliling yang mengutamakan pengurangan sisa, penggunaan semula dan kitar semula merentasi pelbagai sektor.
Keutamana lain termasuk penggunaan sistem pengurusan sisa pintar yang memanfaatkan inovasi digital, analisis data besar dan teknologi pintar untuk mengoptimumkan pengumpulan serta pemprosesan sisa, selain mengukuhkan kerjasama antara kerajaan, pemain sektor swasta dan komuniti bagi memperluas penyelesaian mampan dan gaya hidup lestari.
“Di Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terus memimpin sebagai contoh, memperkukuh komitmen terhadap pengurusan sisa mampan dan prinsip ekonomi pekeliling.
“Inisiatif utama termasuk peningkatan pusat kitar semula di seluruh negara bagi menggalakkan pengasingan dan pemulihan sisa, pelaksanaan program Trash to Cash untuk meningkatkan penyertaan komuniti dalam kitar semula, serta penukaran tapak pelupusan lama kepada Taman Lestari yang dijana tenaga boleh diperbaharu dan berfungsi sebagai ruang komuniti hijau,” katanya.
Malaysia telah mempercepat pembangunan kapasiti loji Sisa-ke-Tenaga (WTE) di Ladang Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Sungai Udang, Melaka sambil memperkukuh usaha penguatkuasaan yang membawa kepada penutupan 3,634 tapak pelupusan haram di tujuh negeri serta pengeluaran 1,530 tan sisa pepejal pada 2025.
Malaysia terus memantapkan inisiatif pengurusan sisa mampan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dengan menumpukan kepada pengasingan sisa di sumber, pengembangan kitar semula serta kempen kesedaran di seluruh negara.
“Selain manfaat alam sekitar secara langsung, pengurangan sisa adalah amalan penting untuk penjimatan tenaga, terutamanya sumber tidak boleh diperbaharu serta memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang demi memastikan masa depan yang mampan,” katanya.
-- BERNAMA
