JENAYAH & MAHKAMAH

SUAMI ISTERI ANTARA LIMA DITAHAN, POLIS RAMPAS 510KG METHAMPHETAMINE BERNILAI RM25.5 JUTA

30/03/2026 02:42 PM

KANGAR, 30 Mac (Bernama) -- Polis menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri dan  merampas 510 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM25.5 juta dalam tiga serbuan di kawasan Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar, minggu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek warga tempatan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 37 tahun itu dipercayai ahli rangkaian sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak beberapa tahun lepas.

Hussein berkata pasangan suami isteri dan seorang suspek lelaki yang menaiki dua kereta ditahan di sekitar jalan utama Wang Kelian menerusi serbuan pertama pada 24 Mac.

“Menerusi pemeriksaan lanjut dalam kereta dinaiki seorang suspek lelaki, polis berjaya merampas 20 guni yang mengandungi 500 paket plastik berisi dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Hussein berkata polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke sebuah daripada kenderaan itu kerana menimbulkan ancaman kepada anggota serbuan yang berisiko menyebabkan kemalangan jiwa.

Hussein berkata tangkapan tiga individu itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki di sekitar Wang Kelian pada 27 dan 28 Mac.

“Ujian saringan air kencing mendapati empat suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod jenayah lampau mendapati semua mereka mempunyai rekod kes dadah,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka direman antara lima hingga tujuh hari bermula 25 Mac dan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hussein berkata tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan RM566,200 yang melibatkan sitaan enam kenderaan termasuk jenis pikap dan lapan motosikal.

Mengenai kumpulan sindiket itu, Hussein berkata ia antara sindiket pengedaran dadah dalam perhatian polis dengan mereka dipercayai mempunyai kepakaran menyeludup dadah menerusi laluan sempadan di negeri itu.

“Rangkaian sindiket ini antara yang aktif di sebelah Perlis dan dipercayai menyeludup masuk dadah menggunakan tenaga manusia menerusi kawasan hutan di Wang Kelian.

“Dadah dihantar ke lokasi transit berhampiran jalan besar Wang Kelian untuk diambil oleh mereka yang ditangkap sebelum dihantar ke lokasi transit lain,” katanya.

Hussein berkata ketua kumpulan sindiket itu ialah seorang lelaki tempatan berusia 40-an dan dipercayai telah melarikan diri ke Thailand dengan pihaknya akan memohon bantuan polis negara itu untuk mengesan suspek. 

Beliau berkata bekalan dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan, Lembah Klang dan selatan serta boleh merosakkan 2.55 juta orang sekiranya terlepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan