AM

SULTAN IBRAHIM BERANGKAT KE MAJLIS KEBAJIKAN QSR BRANDS BANTU PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN

30/03/2026 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis QSR Brands Kongsi Bersama Dalam Usaha Membantu Pelajar Kurang Berkemampuan’ di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) Nehchal Khanna serta barisan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan penyerahan cek bernilai RM1 juta daripada Nehchal kepada wakil penerima sulung institusi pendidikan yang terpilih.

Antara penerima tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Tasek Utara di Johor Bahru (Sekolah Rintis Bangsa Johor) dan Pusat Jagaan Baitul Sakinah di Selangor.

Sementara itu, Nehchal dalam ucapannya berkata inisiatif tersebut diinspirasikan daripada keprihatinan Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengutamakan usaha memberi kembali kepada masyarakat serta menyokong pembangunan negara sebagai keutamaan, walaupun dalam waktu yang mencabar.

"Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pendidikan dan kebajikan dengan menyediakan asas yang lebih kukuh kepada pelajar-pelajar serta peluang bermakna untuk memperbaiki kehidupan mereka," katanya.

QSR Brands merupakan pengendali rangkaian makanan segera terkemuka yang mengendalikan jenama KFC dan Pizza Hut di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan