
Dikelilingi kehijauan hutan Taman Negeri Royal Belum, Tasik Temenggor yang terletak kira-kira 45 kilometer dari sini, adalah antara destinasi ekopelancongan utama negara ini.
Berkeluasan 152 kilometer persegi, tasik itu terbentuk daripada pembinaan Empangan Temenggor yang dibangunkan sebagai jana kuasa hidroelektrik dan siap pada 1974. Tasik buatan manusia ini juga menjadi “rumah” bagi pelbagai spesies ikan air tawar bernilai tinggi seperti kelah, temoleh, tengas, sebarau dan baung, menyediakan lohong rezeki buat penduduk setempat dan kaki pancing.
Namun begitu, ketenangan Tasik Temenggor kini terancam. Pencemaran pukat tinggal menjadi isu yang kian meruncing dan berisiko mengganggu gugat ekosistem tasik yang dikelilingi daratan seluas 117,500 hektar itu.
Tersangkut pada batang-batang kayu mati, pukat tinggal ini kebanyakannya sukar dilihat kerana sebahagian besar jaring tenggelam di bawah permukaan air tasik yang sedalam 40 hingga 100 meter itu, sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna bot dan juga hidupan air lain.
TUGAS MENCABAR
Mengulas isu itu, Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali Abdul Manap berkata kebanyakan pukat tinggal tersebut ditemukan di kawasan menangkap ikan yang dikhususkan untuk nelayan setempat, terutamanya masyarakat Orang Asli suku Jahai.
“Pukat yang lama berada dalam air biasanya menjadi tempat pengumpulan sisa organik dan lumut. Keadaan ini akan menjejaskan kualiti air serta merencatkan pertumbuhan spesies akuatik, terutama bernilai tinggi seperti kelah, temoleh, tengas dan sebarau.
pic-2
“Nampak dari pandangan mata kasar, masalah ini macam terpencil khususnya di perairan air tawar, namun jika tidak ditangani, ancamannya akan terus merebak kepada aktiviti pelancongan di sini yang melibatkan komuniti setempat,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini Jabatan Perikanan Perak mengambil langkah segera dengan membersihkan sisa-sisa pukat tersebut melalui operasi bersepadu, melibatkan beberapa lagi pihak berkepentingan termasuk nelayan setempat.
“Kali pertama kita jalankan operasi pembersihan pukat tinggal ini ialah pada 8 Okt 2025. Dalam operasi itu kita dapat kumpul pukat seberat 10 kilogram. Kemudian pada 4 Dis tahun sama, kita buat lagi sekali dan berjaya bersihkan pukat seberat 15 kg,” katanya.
Jelasnya, aktiviti itu sekalipun nampak mudah, realitinya amat mencabar kerana selain panjang pukat yang mencecah ratusan meter, sebahagian besar daripada jaring tersebut dalam keadaan tenggelam dan tersangkut di batang-batang kayu mati.
“Jadi, memang sukar nak kesan pukat-pukat yang tenggelam ini. Selain itu, disebabkan telah lama terendam dalam air, pukat sudah reput. Bila kita tarik, pukat boleh putus dan tenggelam, sekali gus meningkatkan risiko tersangkut pada enjin bot yang melintas di kawasan tersebut,” katanya.
KOS TINGGI BERSIHKAN PUKAT TINGGAL
Hanya menggunakan pisau dan gunting, kerja-kerja membersihkan pukat tinggal itu bukan sahaja renyah dan memakan masa tetapi turut menelan kos yang tinggi.
Justeru, bagi memastikan usaha pemuliharaan dilaksanakan secara mampan, Mohd Ghazali berkata penekanan perlu diberikan terhadap penglibatan komuniti setempat, khususnya Orang Asli suku Jahai yang mendiami kawasan itu serta bergantung pada tasik tersebut sebagai sumber rezeki utama.
pic-3
Beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan komuniti setempat, khususnya Orang Asli bagi memberi kesedaran tentang kesan buruk pukat tinggal terhadap ekosistem Tasik Temenggor.
“Kita nampak program ini macam klise, tetapi untuk masyarakat Orang Asli di sini, kaedahnya lebih kepada perjumpaan secara terus dan kita tunjuk secara praktikal tentang sesuatu perkara yang kita mahu mereka terlibat sama.
“Jadi, fokus kita adalah dengan memberi maklumat dan memberi kesedaran kepada mereka tentang ancaman pukat hanyut ini kepada ekosistem tasik dan mereka sendiri sebagai komuniti yang menggunakannya untuk bergerak dan mencari rezeki,” katanya.
Mohd Ghazali berkata melalui penglibatan komuniti setempat, usaha itu bukan sahaja menjimatkan kos operasi, malah membantu dalam memastikan ekosistem akuatik di tasik berkenaan kekal terpelihara dan dapat ditatap generasi mendatang.
“Kita memerlukan belanja yang tinggi jika hanya digerakkan dengan kerjasama agensi, berdasarkan faktor jarak dan akses ke tasik. Kekangan ini menyebabkan kita rasa kesedaran awam itu perlu diperkukuh bagi memastikan pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Sasaran utama kita adalah untuk memastikan tasik ini bebas atau sifar daripada sebarang ancaman pukat tinggal dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
PUKAT BOLEH JADI PERANGKAP PASIF IKAN
Sementara itu, Penolong Pegawai Perikanan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kuala Kurau Mohammad Najibuddin Aris berkata masalah pukat tinggal tersebut dikesan berlaku sejak beberapa tahun lalu menerusi rondaan berkala yang dilaksanakan pihaknya, selain aduan daripada pelbagai pihak termasuk Perbadanan Taman Negeri Perak.
Beliau berkata pukat bermata kecil serta rawai antara peralatan yang kerap ditemukan ditinggalkan di beberapa zon di perairan tersebut.
pic-4
Katanya lagi sekiranya keadaan itu dibiarkan berlarutan, pukat atau rawai berkenaan akan menjadi perangkap pasif yang memerangkap ikan secara berterusan tanpa kawalan.
“Rondaan dibuat dalam dua sesi (pagi dan petang) pada setiap hari membabitkan 10 anggota yang dipecahkan kepada dua kumpulan. Kami akan meninjau zon-zon yang ditetapkan untuk tindakan susulan.
“Melalui pemerhatian, kebanyakan pukat hanyut yang dipasang dan ditinggalkan bersaiz kecil (mata pukat) antara 0.2 hingga dua inci, menyebabkan ikan juvenil termasuk yang bernilai tinggi (kelah, temoleh, tengas dan sebarau) terperangkap dan mati sebelum sempat membiak,” katanya.
Menurut Mohamad Najibuddin, masalah tersebut berpunca daripada sikap serta kekurangan kesedaran berkaitan implikasi serta kesan tindakan mereka itu terhadap ekosistem tasik.
“Segelintir nelayan sengaja meninggalkan pukat yang rosak kerana tidak mahu menanggung kos pembaikan. Tindakan seumpama ini akhirnya memburukkan keadaan apabila pukat tersebut hanyut dan mengganggu ekosistem.
“Kami selaku pegawai di lapangan juga akui, ancaman ini hanya akan terhenti selepas semua nelayan memahami tentang kesan jangka panjang yang akan berlaku jika mereka masih melakukan tindakan sedemikian,” katanya.
JEJASKAN KEDATANGAN PELANCONG
Sementara itu, pengusaha rumah bot Zulkafly Bakar, 43, berkata masalah pukat tinggal tersebut sedikit-sebanyak menyumbang kepada penurunan hampir 40 peratus bilangan pelancong, terutama kaki pancing ke kawasan berkenaan sejak lima tahun lalu.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata ada dalam kalangan pengunjung yang mengadu terpaksa mengeluarkan kos ribuan ringgit bagi membaiki peralatan terutama enjin bot yang rosak akibat terlanggar pukat tinggal.
pic-5
“Pukat yang hanyut dan tersangkut pada tunggul pokok bukan sahaja mengganggu aktiviti memancing, malah berpotensi merosakkan peralatan bot seperti enjin, sekali gus menimbulkan kos tambahan kepada mereka.
“Perkara ini juga jika tidak dipantau, dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan saya dan puluhan rakan lain yang turut sama mencari rezeki di sini,” katanya yang telah mengusahakan Joe Muara Belum Houseboat selama lebih 12 tahun.
Menyambut baik operasi membersihkan pukat tinggal yang dilakukan oleh Jabatan Perikanan Perak, Zulkafly berkata langkah itu membantu dalam memberi impak positif kepada aktiviti pelancongan selain mengurangkan risiko keselamatan kepada para pelancong yang berkunjung ke tasik berkenaan.
