KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menitipkan pesanan buat 413,299 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 agar menerima apa jua keputusan diperoleh dengan hati terbuka.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau pagi ini, Ahmad Zahid berkata keputusan itu adalah satu permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang bagi setiap anak muda dalam membina masa depan mereka.
Beliau turut menasihatI calon-calon supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan insan di sekeliling yang menjadi tulang belakang sepanjang tempoh pengajian mereka.
"Jangan lupa zahirkan rasa terima kasih kepada ibu bapa, penjaga, keluarga serta guru-guru yang sentiasa menyokong dan membimbing sepanjang perjalanan anda. Kejayaan yang dikecapi hari ini juga merupakan hasil doa dan pengorbanan mereka," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau turut menyeru calon SPM agar bijak dalam menentukan hala tuju seterusnya dan mempelawa mereka untuk meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya.
"Teruskan melangkah ke hadapan. Choose your path wisely (Pilih jalan anda dengan bijak). Insya-Allah, TVET sentiasa membuka ruang untuk anda membina masa depan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi video dikongsikan di platform media sosial beliau hari ini turut mengucapkan tahniah kepada semua calon SPM 2025 dan menyifatkan kejayaan itu adalah permulaan kepada jalan lebih luas untuk masa hadapan yang cemerlang.
“Terus bersemangat, teruskan usaha untuk menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi dan mencapai impian.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru daripada peringkat sekolah rendah ke sekolah menengah yang telah mendidik anak-anak dengan penuh dedikasi, kesabaran dan komited,” katanya dalam video berdurasi 43 saat itu.
Sebanyak 413,299 calon di seluruh negara akan menerima keputusan peperiksaan SPM 2025, yang diumumkan secara rasmi hari ini.
-- BERNAMA
