EKONOMI

PENETAPAN UPAH ANTARA MAJIKAN DENGAN PEKERJA PERLU DIPERKUKUH, TINGKAT PENDAPATAN BERMAKNA

31/03/2026 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu memantapkan institusi yang membentuk penetapan upah antara majikan dengan pekerja bagi meningkatkan pendapatan secara bermakna dan mengukuhkan kuasa beli.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 yang dikeluarkan hari ini, pemerhatian menunjukkan gaji minimum yang diperkenalkan pada 2013 tidak meningkatkan upah pekerja secara sepadan pada bahagian pertengahan agihan pendapatan.

"Bagi menyokong pertumbuhan pendapatan yang lebih meluas dan mampan, Malaysia perlu membangunkan lagi institusi penetapan upah melangkaui gaji minimum," tambahnya.

Menurut BNM pengalaman di luar negara menunjukkan mekanisme pelengkap, seperti garis panduan gaji, standard gaji kehidupan wajar dan penyelarasan penetapan upah dapat membantu menyesuaikan pertumbuhan upah dengan keutamaan negara seperti produktiviti, daya saing dan kestabilan harga.

"Sebagai contoh, sistem Shunto di Jepun merupakan proses seluruh ekonomi yang membantu menetapkan jangkaan upah dan menyesuaikan kenaikan upah dengan keadaan makroekonomi secara lebih meluas," jelas BNM.

Bank pusat itu memaklumkan penyesuaian prinsip tersebut mengikut konteks Malaysia akan dapat membantu mengimbangi semula kuasa tawar-menawar dan memastikan peningkatan produktiviti diterjemahkan secara konsisten kepada pendapatan yang lebih tinggi bagi pekerja.

Selain itu, untuk memastikan inflasi yang rendah dan stabil, dasar dari segi penawaran perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, menurut BNM.

BNM menjelaskan pelaburan infrastruktur serta pembiayaan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi dapat memperluas pengeluaran dalam negara dan seterusnya membantu menjamin harga barangan asas pada tahap mampu milik.

Pada peringkat luaran, agensi kerajaan yang berkaitan perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dalam industri untuk mempelbagaikan sumber bekalan makanan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan pada masa hadapan, menurut BNM.

"Usaha sedemikian akan membolehkan pengimport domestik bertindak balas dengan lebih tangkas melalui pembelian daripada bekalan alternatif, seterusnya membantu memastikan inflasi makanan kekal," tambah BNM.

Pada masa sama, BNM memaklumkan seiring dengan penuaan penduduk Malaysia, dasar perlu aktif memanfaatkan “dividen demografi kedua”, yang ditakrifkan sebagai keuntungan ekonomi berasaskan peningkatan produktiviti hasil daripada pengumpulan simpanan, kekayaan dan modal insan.

Menurut bank pusat, dividen demografi kedua itu perlu digerakkan melalui pembaharuan yang meningkatkan simpanan negara, memperkukuh sistem sokongan sosial dan mempertingkatkan produktiviti melalui pelaburan modal bersasar.

“Satu keutamaan penting adalah untuk memperluas perlindungan simpanan persaraan, khususnya dalam kalangan pekerja tidak formal seperti usahawan mikro dan pekerja gig.

"Langkah-langkah yang sedang dilaksanakan, seperti pendaftaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara automatik bagi pekerja berasaskan platform, caruman padanan untuk pekerja informal berpendapatan rendah, serta saluran caruman yang dipermudah melalui e-dompet dan platform pembayaran, akan secara langsung mengukuhkan penampan kewangan jangka panjang kumpulan ini," menurut BNM.

Kesemua dasar itu mungkin memberikan kesan penurunan sementara dalam pendapatan dan penggunaan jangka pendek, namun akan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan dan mengurangkan tahap mudah terjejas terhadap kejutan pendapatan dalam jangka Panjang, tambah bank pusat.

Menurut bank pusat, simpanan terkumpul itu kemudiannya perlu diurus tadbir dan disalurkan secara strategik kepada sektor yang mempunyai limpahan produktiviti yang tinggi melalui pelaburan utama yang ditetapkan mengikut pelbagai pelan induk nasional.

"Pelaburan sedemikian dapat meningkatkan nisbah modal kepada pekerja bagi Malaysia, seterusnya menyokong pertumbuhan produktiviti pekerja dan pertumbuhan gaji benar yang berterusan walaupun saiz tenaga pekerja semakin mengecil," jelas BNM.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan