KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Kualiti kredit pinjaman perniagaan secara keseluruhannya meningkat tanpa perbezaan trend yang ketara merentas segmen dan sektor dengan bahagian pinjaman terjejas dan pinjaman yang menunjukkan peningkatan risiko kredit perniagaan bertambah baik, masing-masing kepada 2.8 peratus dan 10.7 peratus.
Dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebilangan kecil peminjam, khususnya syarikat mikro dan kecil dalam sektor perdagangan borong dan runcit, pertanian, pembinaan serta makanan dan minuman terus menunjukkan tanda-tanda tekanan dalam membayar balik pinjaman.
Menurut bank pusat, syarikat-syarikat ini lazimnya menghadapi cabaran perniagaan yang berlarutan, termasuk aliran tunai yang ketat dan margin keuntungan yang tertekan disebabkan oleh bayaran tertangguh oleh pelanggan, persaingan yang lebih sengit dan kos operasi yang semakin tinggi.
“Namun, sebahagian besar peminjam PKS secara amnya terus melakukan penyesuaian terhadap keadaan perniagaan semasa dan kekal berkeupayaan untuk membayar balik obligasi kewangan syarikat,” kata BNM dalam dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2025 yang dikeluarkan di sini hari ini.
Bahagian pinjaman PKS yang tertunggak pula meningkat sedikit kepada 1.5 peratus, manakala pinjaman PKS terjejas secara amnya stabil pada 3.5 peratus.
Bahagian pinjaman PKS di bawah bantuan bayaran balik pinjaman daripada bank-bank dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menurun kepada 3.8 peratus daripada jumlah pinjaman PKS, atau 0.6 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP), jelas BNM.
Keadaan pembiayaan pula terus menyokong keperluan perniagaan, dengan kredit kepada perniagaan yang berkembang pada kadar tahunan sebanyak 5.1 peratus setakat Disember 2025.
Perniagaan, khususnya syarikat korporat yang lebih besar, terus menggunakan pelbagai sumber pembiayaan, termasuk pembiayaan daripada pasaran bon korporat dalam negeri dan pinjaman luar negeri.
Di pasaran bon korporat dalam negeri, bank pusat berkata kualiti kredit terbitan bon kekal kukuh, dengan tiada terbitan diturunkan penarafannya pada separuh kedua tahun 2025.
Melangkah ke hadapan, prospek sektor perniagaan dijangka berteraskan permintaan dalam negeri dan aktiviti pelaburan yang berdaya tahan, permintaan luar negeri yang berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta aktiviti pelancongan yang stabil berikutan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, meskipun terdapat sedikit gangguan perjalanan disebabkan oleh konflik di Asia Barat.
BNM turut menekankan risiko daya tahan perniagaan menjadi rendah berpunca terutamanya daripada prospek pertumbuhan global yang lebih lemah yang boleh menjejaskan permintaan luar negeri.
Selain itu, potensi cabaran perdagangan dan rantaian bekalan yang semakin sengit berikutan ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan yang berterusan, serta keadaan permintaan dalam negeri yang lebih sederhana turut memberi kesan.
Bagaimanapun, ujian tekanan yang dilaksanakan oleh bank pusat mengesahkan bahawa bank- bank mengekalkan penampan modal yang mencukupi untuk menghadapi potensi peningkatan kerugian kredit daripada sektor perniagaan di bawah senario tekanan buruk, tambah BNM.
-- BERNAMA
