EKONOMI

ASAS DOMESTIK KUKUH, LANGKAH PEMBAHARUAN SOKONG RINGGIT PADA 2026 - GABENOR BNM

31/03/2026 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Ringgit dijangka kekal positif pada 2026 didorong oleh asas domestik yang kukuh dan langkah-langkah pembaharuan yang berterusan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata mata wang tempatan akan terus bergantung pada pasaran, mencerminkan perkembangan global dan BNM komited memastikan keadaan pasaran teratur.

“Dari segi faktor domestik, kita mempunyai lebihan akaun semasa yang kukuh yang menyokong ringgit dan akan terus menyokong mata wang tempatan pada sepanjang tahun ini.

“Komitmen terhadap langkah-langkah pembaharuan juga akan memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit,” katanya kepada pemberita selepas beberapa laporan utama BNM dikeluarkan di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata konflik di Asia Barat ternyata akan memberi sedikit impak kepada pergerakan ringgit tetapi ini sebahagian besarnya didorong oleh sentimen pelabur.

Beliau berkata aspek yang lebih penting, kekuatan asas mata wang tempatan dibina dari semasa ke semasa.

“Dari semasa ke semasa, pelabur akan menilai tahun ini walaupun semua perkembangan asas ini akan berterusan. Kita telah menyaksikan aliran masuk modal yang baik kembali ke dalam ekonomi, terutamanya dalam pasaran kewangan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata trajektori ringgit kekal berdaya tahan, disokong oleh asas kukuh yang telah dibina sejak dua hingga tiga tahun lepas dan terus diperkukuh.

“Kita dapat melihat bahawa dalam daya tahan pasaran pertukaran asing itu, jumlah dagangan kekal amat tinggi, menunjukkan pasaran mempunyai kecairan yang tinggi manakala perniagaan dan korporat dapat menjalankan urus niaga tanpa sebarang masalah berkaitan kecairan.

“Kami juga sangat komited untuk meneruskan libat urus dan inisiatif termasuk membawa balik hasil dan memastikan syarikat korporat menukar (keuntungan), menggalakkan lebih banyak penggunaan ringgit sebagai mata wang operasi bagi kebanyakan syarikat multinasional,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan