AM

SEKOLAH DI KELANTAN DIARAH TANGGUH AKTIVITI LUAR 

31/03/2026 02:01 PM

KOTA BHARU, 31 Mac (Bernama) -- Semua sekolah di Kelantan diarah menangguhkan sebarang aktiviti luar susulan cuaca panas dan kering ketika ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Siti Norina Muhamad berkata surat pemakluman mengenai perkara berkenaan telah diedarkan kepada kesemua 595 buah sekolah terlibat, semalam.

"JPN sentiasa memantau perkembangan suhu semasa menerusi Jabatan Meteorologi dan semua sekolah diminta menanguhkan aktiviti luar serta lawatan ke tempat berisiko.

"Sekiranya suhu melebihi 37 darjah Celsius, sesi pembelajaran akan dilaksanakan secara Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dan jika ia mencapai suhu cuaca ekstrem sekolah boleh ditutup untuk sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di sini hari ini.

Siti Norina berkata setakat ini tiada keperluan untuk melaksanakan sesi pembelajaran secara PdPR memandangkan keadaan masih terkawal.

"Bagaimanapun, kita sentiasa mengambil langkah berwaspada untuk mengelakkan anak-anak terdedah kepada risiko terkena strok haba dan setakat ini tiada laporan mengenai murid atau pelajar terkena strok haba," katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan