AM

PM ANWAR UCAP TAHNIAH KEPADA PELAJAR CEMERLANG SPM 2025

31/03/2026 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang dimumkan hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berharap mereka dapat terus melangkah dengan tekad dan keyakinan untuk melakar kecemerlangan di peringkat lebih tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembinaan negara yang berteraskan ilmu, nilai dan keinsanan.

Bagi pelajar kurang bernasib baik, Perdana Menteri menasihati mereka agar tidak berputus asa kerana perjalanan masih panjang dan ruang untuk bangkit sentiasa terbuka kepada mereka yang tidak lelah berusaha. 

“Sistem pendidikan negara tersedia untuk menyokong setiap langkah. Masa depan tidak ditentukan oleh satu keputusan, tetapi oleh kesungguhan untuk terus melangkah dan berjaya,” kata Anwar.

Keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dilaporkan berkata seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, meningkat 3.55 peratus berbanding 13,827 calon pada 2024.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan