ZHENGZHOU, 31 Mac (Bernama-CMG) -- Penerbangan sulung pesawat tanpa pemandu (UAV) pengangkut kategori tujuh tan yang pertama di China, Norinco Luca, berjaya dilaksanakan di Lapangan Terbang Shangjie di sini pada pagi Isnin.
Norinco Luca yang dibangunkan berdasarkan kepakaran tempatan merupakan platform pengangkutan tanpa pemandu kategori tujuh tan pertama di negara itu yang telah lulus ujian penerbangan sebenar.
Penggunaan UAV yang digelar sebagai “treler udara” itu menandakan lonjakan signifikan China dalam bidang kelengkapan logistik pintar berteknologi tinggi bagi pengangkutan udara.
Norinco Luca dilengkapi kabin kargo berkapasiti 18 meter padu dengan berat ketika berlepas mencecah tujuh tan. Ia mampu membawa muatan maksimum 3.5 tan sekali gus memenuhi keperluan penghantaran barangan biasa, rantaian sejuk beku, makanan segar serta kelengkapan kecemasan.
Selain itu, pesawat itu mempunyai jarak penerbangan maksimum melebihi 3,000 kilometer.
"Treler udara" itu boleh digunakan bagi pengangkutan logistik jarak jauh, penghantaran bantuan kecemasan, pembekalan barangan ke kawasan sempadan, serta operasi di kawasan yang kompleks sekali gus menyediakan sokongan peralatan kepada pembangunan ekonomi ruang udara rendah dan sistem jaminan kecemasan.
-- BERNAMA-CMG
