GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) -- M. Sanjay membuktikan bahawa pengurusan masa pembelajaran yang bijak, di samping konsistensi, disiplin dan tumpuan menjadi kunci utama kejayaannya meraih 10A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Anak kepada kerani pentadbiran di Universiti Sains Malaysia (USM) itu hanya menghabiskan masa antara satu hingga dua jam sehari mengulang kaji pelajaran, selebihnya dia memberikan fokus sepenuhnya ketika guru mengajar dan tidak bertangguh menyiapkan latihan.
"Saya mengamalkan rutin membuat latihan secara konsisten selain memberikan tumpuan ketika sesi pembelajaran di dalam kelas dan latihan yang cikgu beri perlu disiapkan, saya juga sentiasa dengar serta ikut panduan yang dikongsikan guru.
"Terima kasih kepada ibu V. Suseela, 58, dan ayah T. Muniandy, 59, serta semua guru dan kawan yang sentiasa membantu serta memberikan dorongan sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman SPM di sini, hari ini.
Sanjay, 18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, dekat sini memperoleh semua A+ dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Sejarah, Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, dan Prinsip Perakaunan.
Mengulas perancangan masa depan, anak tunggal itu berkata dia telah memohon untuk melanjutkan pengajian ke program matrikulasi dan bercadang menceburi bidang Sains Komputer di universiti nanti.
Sementara itu, Ahmad ‘Aqeel Ibrahim, 17, berkata keputusan percubaan yang kurang memberangsangkan apabila sekadar mendapat 3A termasuk C untuk Matematik Tambahan dan D bagi Sejarah, menjadi titik tolak buatnya untuk bangkit dan membuktikan kemampuan sebenar apabila akhirnya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam SPM 2025.
Ahmad ‘Aqeel yang memulakan darjah satu pada usia enam tahun berkata pencapaian itu tidak datang dengan mudah, sebaliknya hasil usaha berterusan selepas menyedari kelemahan diri dalam peperiksaan percubaan sebelum ini yang benar-benar membuka matanya untuk berubah.
'’Antara kunci kejayaan ialah menghadiri kelas tambahan di sekolah, mengekalkan hubungan baik dengan guru serta tidak melupakan doa daripada ibu bapa. Saya selalu pergi kelas tambahan di sekolah dan cuba buat yang terbaik dalam setiap tugasan yang cikgu beri.
“Saya tidak mengikuti sebarang kelas tuisyen di luar, sebaliknya banyak bergantung pada pembelajaran bersama-sama ibu bapa yang juga seorang guru tuisyen,'' kata pelajar SMK Bukit Jambul itu yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang Matematik sehingga peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Terdahulu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata sebanyak 750 calon peperiksaan SPM 2025 memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil dengan 25 daripadanya mendapat semua A+, iaitu cemerlang tertinggi di Pulau Pinang.
-- BERNAMA
