SEREMBAN, 31 Mac (Bernama) -- Seorang pelajar berkeperluan khas mencipta kejayaan membanggakan apabila memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus menjadi inspirasi kepada pelajar lain.
Muhammad Naazir Danesh Mohd Khairuddin, 18, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal berkata kekurangan diri tidak pernah mematahkan semangatnya untuk belajar dan terus berjaya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sheikh Ahmad, di sini yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu turut tidak menyangka keputusan SPM yang diterima hari ini sangat cemerlang memandangkan dia hanya memperoleh 6A ketika peringkat percubaan.
"Sejujurnya saya sendiri tidak mengharapkan keputusan sebegini, saya hanya tawakal pada ketentuan Allah dan rezeki kali ini Tuhan menentukan saya mendapat semua A, Alhamdulillah.
"Bagi saya jika ingin berjaya kita tidak perlu hiraukan apa yang orang lain fikir, biarlah kita sendiri yang tentukan hidup, tidak perlu mendengar cakap orang yang negatif kerana itu hanya membuatkan kita berasa rendah diri," katanya yang menghidap penyakit kekurangan kalsium (tulang rapuh) sejak kecil, di sini hari ini.
Muhammad Naazir Danesh yang merupakan pelajar aliran Sains Agama itu bercita-cita untuk menjadi seorang pakar teknologi maklumat bagi membantu memajukan lagi golongan istimewa sepertinya.
“Sepanjang lima tahun bersekolah di sini, ayah Mohd Khairuddin Zihan, 47, banyak bantu, disebabkan saya berkerusi roda, ayah sering mendukung saya untuk ke makmal komputer dan ke tandas,” katanya sambil menambah bapanya merupakan guru kanan mata pelajaran teknik dan vokasional di sekolah itu.
Sementara itu, Nursaibah Al-Humairah Omar, 18, tidak menyangka mampu meraih A subjek Matematik Tambahan sedangkan sebelum ini hanya memperoleh gred E setiap kali ujian.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata pembelajaran saat akhir dan bantuan sokongan daripada guru banyak membantunya untuk mencapai keputusan cemerlang 11A pada hari ini.
"Kalau sebelum ini setiap kali ujian saya dapat E bagi Matematik Tambahan tidak sangka pula kali ini keputusan SPM saya boleh dapat A. Alhamdulillah syukur dengan keputusan ini," katanya yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah.
-- BERNAMA
