KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan berlaku kesilapan teknikal dalam penyediaan senarai pemain bagi perlawanan Liga Super antara Penang FC dan Kuching City FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 15 Mac lepas.
MFL dalam satu kenyataan memaklumkan laporan lengkap daripada kedua-dua pasukan, pegawai perlawanan, Komisioner Perlawanan (MC), Koordinator Perlawanan (GC) serta Pegawai Keempat (P4) telah diterima dan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah (BOD) badan itu hari ini.
“Hasil siasatan mendapati berlaku kesilapan teknikal dalam penyediaan senarai pemain oleh Komisioner Perlawanan apabila pemain Kuching City FC, Scott Philip Woods (jersi No.5), tidak ditandakan dalam senarai pemain walaupun telah didaftarkan dalam ‘Selection List’ sebagai pemain simpanan,” menurut kenyataan itu.
Menurut MFL, Ahli Lembaga Pengarah turut mendapati MC, GC dan P4 gagal melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan pemain di bilik persalinan mengikut garis panduan ditetapkan.
Selain itu, pertukaran pemain pada minit 90+6 telah dibenarkan oleh GC dan P4 tanpa semakan menyeluruh terhadap senarai pemain sekali gus menyebabkan pemain yang tidak tersenarai secara rasmi dalam dokumen tersebut diturunkan.
Justeru, MFL memutuskan Kuching City dikenakan denda RM30,000 dan amaran keras atas kecuaian memastikan ketepatan maklumat senarai pemain, namun keputusan perlawanan yang menyaksikan Kuching City menewaskan Penang 1-0 dikekalkan.
Sementara itu, MC digantung daripada menjalankan tugas selama 12 bulan dengan enam bulan terakhir melalui fasa pemulihan, manakala GC digantung selama enam bulan sementara tindakan susulan terhadap P4 pula tertakluk kepada keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
MFL menegaskan semua pihak termasuk pegawai perlawanan dan kelab bertanggungjawab sepenuhnya memastikan setiap prosedur pertandingan dipatuhi, khususnya dalam aspek teknikal seperti penyediaan dan pengesahan senarai pemain.
“Sebarang kecuaian yang boleh menjejaskan integriti pertandingan tidak akan dikompromi dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan standard profesional Liga Malaysia sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
