KLANG, 1 April (Bernama) -- Lelaki dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di sini, tiba di Mahkamah Klang hari ini bagi menghadapi pertuduhan.
Lelaki berusia 20-an itu tiba kira-kira 8.50 pagi dengan dikawal anggota dan pegawai polis.
Lelaki berkenaan sebelum ini direman empat hari bermula Isnin, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada Ahad lepas, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi.
Kejadian berkenaan mengakibatkan mangsa Amirul Hafiz Omar, 33, tercampak ke atas bumbung kereta jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu suspek menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya serta dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
Rakaman video kemalangan itu tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta dipandu laju memotong garisan berkembar dan merempuh sebuah motosikal hingga mengakibatkan penunggangnya melambung sebelum tercampak ke atas kenderaan lain.
Sementara itu, isteri mangsa Nor Nadia Abdul Majid, 32 turut dilihat hadir ke mahkamah.
-- BERNAMA
