SEPANG, 1 April (Bernama) -- Malaysia muncul negara pertama di ASEAN dan Asia yang diiktiraf oleh ASEAN Records dan ASIA Records bagi inisiatif arca daripada bahan kitar semula di seluruh negara.
Projek dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu menampilkan 45 arca yang kebanyakannya diperbuat daripada bahan kitar semula dan dipasang di beberapa negeri termasuk Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan ASEAN Records dan ASIA Records, Gillian Ooi berkata inisiatif itu unik dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai pengurusan sisa secara lestari, sekali gus menunjukkan bahawa sisa pepejal boleh memberikan pulangan yang tinggi apabila diproses secara kreatif.
“Projek ini menunjukkan bahawa bahan kitar semula boleh diubah menjadi sesuatu yang menarik. Ia juga membantu mendidik orang ramai bahawa apa yang kita buang boleh digunakan semula dengan cara yang kreatif,” katanya.
Ooi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pengiktirafan dua anugerah berkenaan di sini, semalam
Rekod tersebut ialah ‘Largest Single-Programme Multi-State Outdoor Recycled Sculpture Installation by a Government Agency’, yang melibatkan pemasangan 45 arca di lapan negeri dalam tempoh enam bulan.
Setiap arca mengandungi antara 60 hingga 100 peratus bahan kitar semula, melebihi keperluan minimum 50 peratus untuk mendapat pengiktirafan rekod.
Arca-arca tersebut mempunyai pelbagai saiz dan ditempatkan di kawasan awam serta tempat pelancongan untuk menarik pengunjung dan meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar.
Ooi menjelaskan bahawa berdasarkan kajian mereka, tiada negara lain di ASEAN atau seluruh Asia yang telah melaksanakan usaha berskala nasional yang dipimpin agensi kerajaan seumpama itu, yang menggabungkan seni awam, kelestarian, dan pelancongan.
“Pengiktirafan terhadap inisiatif Malaysia ini menonjolkan komitmen negara terhadap kelestarian serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Dengan menggunakan strategi ‘sisa kepada seni’, inisiatif SWCorp menggabungkan seni awam dengan pendidikan alam sekitar adalah untuk memperindahkan landskap dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata inisiatif “Satu Arca, Satu Pejabat’, yang dilancarkan pada Jun 2025, bertujuan untuk mengubah persepsi orang ramai bahawa sisa pepejal tidak bernilai, sebaliknya ia menunjukkan bahawa sisa boleh diubah menjadi seni yang bernilai melalui kemahiran kreatif.
-- BERNAMA
