AM

KPT SERU INDUSTRI MANFAAT DANA RM5 JUTA PPRN TINGKATKAN PRODUKTIVITI

01/04/2026 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru pemain industri supaya memanfaatkan dana RM5 juta yang disediakan menerusi inisiatif Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) bagi melonjakkan produktiviti syarikat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata inisiatif yang bermula sejak 2015 itu telah merekodkan pelaksanaan lebih 700 projek inovasi melibatkan kerjasama universiti awam dan swasta bersama pihak industri. 

Beliau berkata inisiatif berkenaan bertujuan membudayakan pemindahan ilmu serta kepakaran daripada penyelidik di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melalui kerjasama penyelidikan dengan syarikat tempatan yang mungkin tidak mempunyai kepakaran dan modal besar. 

"Kerajaan menyediakan peruntukan iaitu bagi syarikat kecil, kita akan berikan 90 peratus dana penyelidikan dan baki 10 peratus adalah modal syarikat itu sendiri.

“Untuk syarikat bersaiz sederhana, peruntukan mungkin dibahagi secara 50-50. Apa yang penting, kita mahu membudayakan amalan penyelidikan di dalam syarikat," katanya ketika menjadi tetamu Program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Sementara itu, Megat Sany berkata Persidangan PPRN dengan tema ‘Kerjasama Akademia dan Industri’ akan diadakan pada 7 April ini, bagi menghebahkan amalan terbaik dan mempamerkan produk inovasi hasil cetusan program berkenaan.

Beliau berkata persidangan yang terbuka kepada semua pihak itu juga akan menonjolkan dan berkongsi kejayaan dicapai menerusi kerjasama pihak IPT dan industri di bawah inisiatif itu agar dapat dijadikan inspirasi kepada syarikat tempatan.

Syarikat yang berminat menyertai inisiatif PPRN boleh mendapatkan maklumat lanjut dan memohon menerusi laman sesawang epprn.mohe.gov.my atau melayari laman Facebook rasmi PPRN.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan