KUALA LUMPUR,1 April (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyasarkan pelaburan kira-kira RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penggambaran antarabangsa serta destinasi pelancongan berasaskan kandungan filem.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata sasaran itu disokong peruntukan RM300 juta di bawah Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang diluluskan kerajaan bagi tempoh berkenaan.
Beliau berkata sejak diperkenalkan pada 2013, inisiatif rebat FIMI berjaya menarik kira-kira RM2 bilion pelaburan daripada produksi tempatan dan antarabangsa, selain menjana limpahan ekonomi dianggarkan mencecah RM8 bilion merangkumi sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan.
“Kerjasama ini bersifat ‘menang-menang’ apabila industri perfileman bukan sahaja membawa pelaburan antarabangsa ke Malaysia, malah menjadi platform untuk mempromosikan keindahan negara kepada pelancong global dan domestik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara FINAS dan Tourism Malaysia di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Azmir mewakili FINAS dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Azmir Saifuddin berkata Malaysia kini semakin dikenali sebagai hab penggambaran bagi produksi antarabangsa termasuk program realiti, drama dan filem, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam industri kreatif global.
Sementara itu, Mohd Amirul Rizal berkata kerjasama tersebut turut dilihat sebagai langkah strategik dalam menyokong sasaran negara menarik 47 juta pelawat asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau berkata setakat 26 Mac lepas, jumlah pelancong ke Malaysia masih menunjukkan peningkatan walaupun terdapat sedikit penurunan daripada beberapa pasaran seperti Timur Tengah dan Eropah.
“Walaupun terdapat cabaran dari segi pasaran tertentu, kita akan menampung kekurangan itu dengan meneroka pasaran baharu selain memperkukuh promosi melalui pendekatan kreatif termasuk penggunaan kandungan filem sebagai tarikan pelancongan,” katanya.
Mohd Amirul Rizal berkata konsep screen tourism akan diperkasakan menerusi usaha menjadikan lokasi penggambaran sebagai destinasi pelancongan, dengan mengambil contoh kejayaan drama Korea Winter Sonata yang menjadikan Pulau Nami di negara itu sebagai lokasi ikonik dalam kalangan pelancong.
Beliau berkata Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan lokasi penggambaran yang berpotensi dapat dibangunkan sebagai produk pelancongan yang mudah diakses dan memberi pengalaman kepada pengunjung.
-- BERNAMA
